Kiriman pada: Fri, Aug 28th, 2015

Bekas timbalan pengarah SB akan diberi surat tunjuk sebab

Kongsi maklumat ini
Tags

Khalid-Abu-BakarKUANTAN: Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas (SB), Datuk Abdul Hamid Bador akan diberikan surat tunjuk sebab dan diarahkan memberi penjelasan berhubung tindakannya mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung pertukarannya baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata sebagai pegawai polis, Abdul Hamid terikat dengan peraturan pasukan dan tidak boleh mengeluarkan kenyataan kepada media sembarangan.

Menurut Khalid, surat tunjuk sebab itu adalah bagi memberi peluang kepadanya untuk memberi penjelasan sebelum sebarang tindakan disiplin dan tatatertib dikenakan.

“Kita ni semua manusia biasa. Saya telah menemui beliau dan berbincang panjang dengan beliau tetapi saya tidak mahu mengulas lanjut apa yang kami bincangkan.

“Tetapi saya percaya beliau bertindak sedemikian oleh kerana rasa kecewa di atas tugas-tugasnya,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pengurniaan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, pada Khamis.

Khalid mengulas tentang tindakan Abdul Hamid yang membuat kenyataan media baru-baru ini tentang beberapa perkara termasuk soal pertukarannya ke Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa tindakan disiplin dan tatatertib akan dikenakan ke atas Abdul Hamid kerana melanggar peraturan polis.

“Saya juga mengingatkan beliau bahawa beliau telah melanggar peraturan polis, kerana kita ada peraturan (tentang) siapa yang boleh bercakap dengan media.

“Jadi kami terpaksa mengambil tindakan tatatertib terhadap beliau,” ujar Khalid.

“Kita akan keluarkan surat tunjuk sebab pada beliau dan beliau perlu beri penjelasan dan selepas itu kita akan fikirkan apa hukuman patut kita kenankan pada beliau… bukan pada beliau sahaja, (malah) pada mana-mana kakitangan polis yang melanggar perturan dan disiplin,” tambahnya.

Dalam pada itu, Khalid turut menafikan dakwaan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan kononnya ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang sering campur tangan dalam urusan pentadbiran pasukan polis.

Katanya pelaksanaan polisi adalah tanggungjawab beliau sebagai ketua dan dibentuk kerajaan.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.