Kiriman pada: Sat, Nov 26th, 2016

Belia Perlu Bantu Sebar Mesej Mengenai Islam Tulen

Kongsi maklumat ini
Tags

bantuKuala Lumpur – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu generasi muda membantu menyebarkan mesej mengenai Islam tulen, supaya saudara sesama Islam tidak terpesong ke dalam kegelapan dan keganasan.

Perdana menteri berkata banyak daripada orang yang melakukan perbuatan keganasan bagi pihak militan Daesh diketahui kurang kasih sayang, tetapi telah diradikalisasikan secara berterusan, membenarkan mereka menyalurkan kemarahan dan kekecewaan oleh mesej yang telah diputarbelitkan.

“Sesetengah mereka yang melakukan perjalanan untuk menyertai Daesh sebenarnya membeli salinan buku bertajuk ‘Islam for Dummies’. Ia seakan-akan satu jenaka. Tetapi ia lompong, amat pahit, yang telah memusnahkan kehidupan banyak orang.

“Sebenarnya, Islam tulen dapat membetulkan mereka. Ia akan memberitahu mereka bahawa melakukan kekejaman bagi pihak Daesh tidak akan dapat menebus kehidupan mereka yang berdosa di masa lalu,” katanya dalam ucaptama pada Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIYD) 2016, di sini, Sabtu.

Najib berkata Islam yang sebenar dan tulen telah membina peradaban-peradaban yang gemilang di dunia.

“Terdapat terlalu banyak pengajaran dan toleransi, di mana umat Islam, penganut Kristian dan Yahudi hidup dan bekerja, seiringan, dalam harmoni,” katanya.

Acara bertemakan “Pemerkasaan Belia Bagi Masa Depan lebih Selamat dan Lebih Baik” itu yang disertai kira-kira 1,000 belia dari sekitar rantau ini, turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Najib berkata Malaysia juga tidak kalis daripada masalah keganasan, mengambil perhatian bahawa pada Jun lepas negara berdepan serangan pertama kali dilakukan kumpulan berkaitan Daesh di Puchong, yang mencederakan lapan orang.

Beliau berkata kerajaan mengakui betapa seriusnya ancaman itu dan telah mengambil langkah untuk menanganinya, termasuk meluluskan Akta Kesalahan-Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA, Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara dan Akta Majlis Keselamatan Negara.

“Ini dilakukan supaya kita mempunyai perundangan yang membolehkan kita mengendalikan ancaman ini secara langsung dan saya ingin jelaskan di sini, saya tidak akan meminta maaf kerana menjadikan jaminan keselamatan semua rakyat Malaysia sebagai keutamaan saya,” katanya.

Selain daripada salahtafsiran tentang Islam, Najib mengambil perhatian bahawa isu seperti pengangguran, kemiskinan, pelucutan hak undi dan peminggiran dalam kalangan generasi muda boleh membawa mereka kepada fahaman radikal.

“Kami tahu golongan muda perlukan saluran dan peluang untuk menambah baik diri mereka dan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan, termasuk oleh kuasa globalisasi.

“Isu-isu ini turut ditangani menerusi perancangan yang kami gariskan dan laksanakan selepas saya mengambil alih jawatan perdana menteri, untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.

Untuk mencapai objektif itu, Najib berkata negara berada di landasan untuk menarik pelaburan yang diperlukan untuk memastikan ekonomi terus mencatatkan pertumbuhan pesat dan menyediakan kerja baharu dan latihan kemahiran tinggi yang perlu untuk generasi muda.

Perdana menteri berkata acara hari ini dan tema khusus itu merupakan satu lagi usaha berterusan kerajaan untuk mendampingi belia bagi mendengar suara mereka dan memberikan maklum balas terhadap kebimbangan mereka.

“Kami perlukan sokongan dan penyertaan anda, sebab itu kenapa saya amat gembira melihat begitu ramai anda sekalian di sini hari ini untuk berkongsi pandangan anda dan membincangkan cara untuk menjalin perkongsian lebih baik antara kerajaan dan belia bagi memastikan kita kekal di laluan yang mementingkan keamanan dan keharmonian,” katanya.

Najib berkata kerajaan mengakui bahawa belia merupakan sumber paling penting negara dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melakukan yang terbaik untuk memastikan dekad-dekad akan datang menyediakan kemakmuran, keterangkuman, jaminan dan kegembiraan buat masyarakat.

Malah, katanya banyak langkah telah diumumkan dalam pembentangan Bajet pada bulan lepas khusus untuk membantu golongan belia, termasuk melanjutkan Skim Latihan 1Malaysia untuk siswazah, pengurangan cukai bagi syarikat untuk menyediakan latihan kepada pelajar dan Pelan Transformasi Negara 2050.

“Visi saya bagi Malaysia ialah untuk kita menjadi masyarakat terbaik, “ummah khayra”, pada zaman kita. Bantu kami untuk merealisasikan hadiah yang amat bernilai ini – untuk menjadi masyarakat terbaik pada pandangan Tuhan. Itulah, buat masa ini, cabaran saya kepada anda,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.