Kiriman pada: Sun, Jan 4th, 2015

Bencana Banjir: “Kalau Nak Hukum, Hukum Saya,” Shahidan.

Kongsi maklumat ini
Tags

JEPUNSubang – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim hari ini menyelar agensi berita antarabangsa, BBC, susulan laporan beritanya mengenai bencana banjir yang melanda negara ini yang disifatkan Shahidan sebagai tidak bertanggungjawab.

Menegaskan wartawan agensi tersebut tidak mendapatkan maklumat yang tepat berhubung bencana banjir yang paling teruk pernah melanda negara ini, Shahidan seterusnya menyarankan supaya pihak media lebih memfokuskan kepada usaha membantu mangsa-mangsa di kawasan terjejas dan bukannya mencari salah mana-mana pihak.

“Yang jadi masalah kerana berita yang disebar ke dunia luar oleh pemberita, salah satunya termasuk BBC, menceritakan sesuatu yang dia sendiri hanya berada di Kota Bharu.

“Tetapi cara mengulas (laporan berita) itu satu perbuatan yang tidak patut. Padahal masa kita teruk macam ini, sepatutnya ulasan (yang) diberi (ialah) macam mana nak tolong orang (mangsa banjir).

“Ini orang dekat nak mati dah dia komen lagi orang ini salah, orang itu salah,” tegas Shahidan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas selesai upacara penyerahan bantuan bencana dari kerajaan Jepun kepada kerajaan Malaysia di Depoh Tindakbalas Kemanusiaan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRD), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Shahidan menegaskan dirinya sedia dipersalahkan memandangkan beliau adalah Menteri yang bertanggungjawab terhadap isu-isu bencana alam di negara ini.

“Orang yang harus dipersalahkan ialah saya..saya Menteri yang dipertanggungjawabkan berkenaan bencana..

“Jadi kalau nak salahkan, salahkan sayalah. Saya duduk di kelantan 16 hari 16 malam, jadi saya tahu dari A-Z..Tak payah hukum orang sana, orang sini..hukum saya..kalau nak hukum, hukum saya..,” tegasnya lagi.

Sementara itu mengulas mengenai sumbangan kerajaan Jepun yang berjumlah RM500,000, kerajaan negara ini ujar Shahidan sentiasa mengalu-alukan sokongan dan bantuan dari negara sahabat bagi mempercepatkan pelaksanaan proses pemulihan di kawasan-kawasan yang terjejas.

Kerajaan juga tambah beliau ketika ini sedang giat memberikan tumpuan kepada fasa pemulihan dan pembangunan semula kawasan yang terjejas bagi membolehkan mangsa-mangsa kembali meneruskan kehidupan mereka.

Antara usaha yang dilakukan kerajaan katanya adalah pembaikan infrastruktur, kawasan kediaman serta pemulihan aktiviti sosio-ekonomi masyarakat.

Sumbangan yang disampaikan menerusi Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa itu adalah berbentuk 30 unit penapis air mudah alih, 50 unit tangki air mudah alih serta 40 set generator dan kabel.

Shahidan mewakili kerajaan Malaysia bagi menerima sumbangan tersebut.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.