Kiriman pada: Thu, Jul 31st, 2014
Dari Blog | Oleh

Berayakah umat Islam di Gaza?

Kongsi maklumat ini
Tags

imageBERAYAKAH umat Islam di Gaza?

Itu persoalan yang bermain dalam fikiran penulis tatkala mata memandang anak-anak kecil di negara ini (Malaysia) yang bebas berlari riang membawa bersama bunga api di tangan sempena sambutan Syawal.

Penulis akui, mana-mana insan yang lahir di bumi Malaysia ini begitu bertuah, dapat meraikan Syawal tanpa perlu merasai walaupun sekelumit ketakutan.

Situasi itu bagaimanapun cukup berbeza di bumi Gaza. Rakyat mereka, terutama anak-anak kecil, tidak dapat merasai erti sebenar hari raya yang sepatutnya disambut meriah.

Malah, ada antara mereka yang turut bersendirian menyambut hari lebaran akibat kehilangan kedua ibu bapa mereka yang syahid mempertahankan tanah air tercinta.

Tempoh gencatan senjata selama 24 jam dicapai pada 28 Julai lalu antara pemerintah Gaza, Hamas dan Israel bagi menghormati Hari Raya Aidilfitri membolehkan takbir raya berkumandang di Palestin.

Namun tiada sambutan meriah, tiada juadah raya yang mewah, juga tiada amalan kunjung mengunjungi seperti dilakukan umat Islam seluruh dunia.

Tidak sampai 24 jam, Israel mencabul gencatan senjata tersebut, menidakkan sambutan Syawal dan rakyat Gaza perlu kembali bersedia menghadapi hujan peluru dan letusan bom serangan kejam rejim Zionis.


Beraya dalam air mata

Mohd Idrus Abdul Hamid, seorang sukarelawan mengimbas detik kesempatannya menziarahi bumi Gaza dua tahun yang lalu.

“Kelu lidah sebaik sahaja kaki berpijak di bumi Gaza. Manakan tidak, apa yang dilihat mata adalah satu kemusnahan besar di bumi suci para anbiya itu.

“Di kiri kanan jalan juga kosong. Tiada kelibat kanak-kanak kecil berlari keriangan atau merengek meminta ibu dan ayah mereka membelikan baju raya baharu apatah lagi untuk ada riak keterujaan menyambut Syawal,” ceritanya.

Menurut Mohd Idrus, apa yang dapat dilihatnya adalah kemusnahan teruk bukan sahaja pada bangunan malah kawasan tanaman, sekolah, hospital dan masjid yang menjadi sasaran peluru berpandu Zionis.

“Nyawa penduduk Gaza juga tidak terjamin. Sesiapa yang berada di sana umpama nyawa di hujung tanduk kerana Israel boleh menyerang pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Beliau menceritakan bagaimana hatinya sebak apabila melawati beberapa rumah yang hancur akibat bedilan rejim Zionis.

Namun, kerana tiada lagi tempat tinggal lain yang boleh dituju, penduduk Gaza terpaksa juga berlindung di sebalik runtuhan tersebut.


Al-Quran kekuatan penduduk Gaza

“Ketika dalam sesi lawatan, rombongan kami ditemukan dengan seorang anak kecil yang kematian ibu bapanya.

“Kanak-kanak itu datang rapat kepada kami seolah-olah mengharapkan kasih sayang yang tidak dapat diperolehinya. Menitis air mata kami ketika itu,” kata Mohd Idrus.
Dalam usia sekecil itu, kanak-kanak tersebut terpaksa mengharungi dugaan hidup yang tidak sedikit pun dipintanya.

“Saya diceritakan bahawa kebanyakan kanak-kanak dan penduduk Gaza tidak lekang dengan bacaan al-Quran dan mereka menjadi penghafaz al-Quran.

“Kerana itu, mereka mempunyai jiwa kental sehinggakan apabila ditanya, tiada seorang pun yang ingin keluar dari Gaza menyelamatkan diri, sebaliknya mahu mempertahankan tanah air tercinta,” katanya.


Sambut Syawal berbumbungkan langit  

Turut berkongsi pengalaman, koordinator Projek Gaza Viva Palestin, Noorazian Anidin yang menyifatkan keadaan penempatan di Gaza cukup daif dengan kebanyakan penduduknya hanya tidur beralaskan tanah dan berbumbungkan langit.

Keadaan tersebut katanya, cukup berbeza dengan Malaysia yang cukup segalanya lebih-lebih lagi dalam  menyambut Aidilfitri.

Menurutnya, penempatan di Gaza tidak ubah seperti kawasan setinggan di Malaysia pada tahun 70-an malah lebih teruk lagi.

“Walaupun penduduk Gaza ini tidak meriah dalam menyambut Syawal, namun mereka tidak pernah lupa hubungan dengan ALLAH.

“Malah mereka turut mendoakan kami supaya sentiasa istiqamah dalam membantu penduduk Gaza sewaktu kami melawat mereka,” katanya.

Katanya, pengalamannya ketika di Gaza juga cukup menggerunkan apabila nyaris menjadi mangsa pengeboman rejim Zionis.

“Ada satu ketika majlis berbuka puasa bersama Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh terpaksa dibatalkan kerana dimaklumkan kawasan tersebut akan menjadi sasaran pengebom Israel.

“Selepas itu kami dapat tahu ada yang syahid di kawasan tersebut,” katanya.

Namun, baginya, jiwa penduduk Gaza cukup kental kerana mampu berhadapan dengan keadaan tersebut sepanjang masa.

Mengenai pengirim

-

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.