Kiriman pada: Sun, Mar 29th, 2015

Beri Peluang Kepada Kerajaan Laksana CBP

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI SHAFIE APDALRaub – Rakyat diminta memberi peluang kepada kerajaan melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sebelum membuat pelbagai andaian negatif mengenai sistem percukaian baharu itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ini kerana beliau yakin sistem itu akan memberi manfaat kepada pengguna dan juga peniaga.

“Kita juga yakin jika semua pihak dapat memberi kerjasama terutama pihak peniaga, peruncit dan pemborong, CBP akan menjadi sumber kewangan yang baik dan mantap kepada pendapatan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baharu Pusat GiatMara Raub di Jalan Taman Mewah.

Katanya sistem itu sudah dilaksana oleh lebih 160 negara termasuk negara yang jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding Malaysia.

“Mungkin ada masalah pada peringkat awal pelaksanaannya, namun saya percaya CBP adalah sistem yang boleh membantu pengguna dan peniaga,” katanya.

Mengulas perkembangan krisis di Yaman, Mohd Shafie berkata walaupun tiada pelajar tajaan Mara di Yaman, pihaknya tetap memantau situasi bagi memastikan keselamatan pelajar tajaan agensi itu di negara berjiran seperti Mesir tidak terjejas.

“Kita sentiasa berhubung dengan pihak Wisma Putra dan jika mereka keluarkan arahan untuk membawa keluar pelajar tajaan kita dari negara berkenaan, sudah pasti kita akan lakukan untuk memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.