Kiriman pada: Mon, Jul 13th, 2015

Beri Perhatian Serius Tangani ‘Ajaran Anwar Ibrahim’

Kongsi maklumat ini
Tags

DSC_0154Agak lama juga tidak mendengar cerita mengenai ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini. Kali terakhir membaca berita mengenai beliau adalah tentang perkhabaran keuzurannya. Apa cerita agaknya ‘hero’ Malaya ini waktu Aidilfitri dah nak hampir beberapa hari sahaja lagi ini.

Terlanjur dah buka cerita mengenai Anwar Ibrahim, penulis tertarik pula untuk mengulas tentang kisah ajaran sesat yang sebenar-benarnya di negara ini yang selama ini kita mungkin telah terlepas pandang.

Kebiasaannya, konsep ajaran sesat bagi masyarakat di negara ini hanya dikaitkan dengan keagamaan semata-mata. Pelbagai jenis ajaran sesat yang telah berjaya dilumpuhkan operasinya oleh pihak berkuasa di negara ini yang menyaksikan beberapa orang ‘tuhan’ telah dipenjara. Termasuk jugalah ‘kerajaan-kerajaan syurga’ seperti perkampungan langit ‘Ayah Pin’ turut telah dimusnahkan sama sekali oleh agensi-agensi penguatkuasa negara dengan begitu efektif sekali.

Ramai yang tidak sedar sebenarnya mengenai penyebaran fahaman sesat lagi menyesatkan yang membarah di negara ini sejak tahun 1998 lagi iaitu ‘zaman Reformasi’. Perkataan reformasi itu boleh dikaitkan dengan elemen-elemen yang membawa kepada perubahan. Konsep berubah kebiasaannya menuju ke arah yang bermanfaat dan memberikan faedah kepada orang ramai secara tidak langsung.

Namun begitu ‘ajaran’ reformasi bawaan Anwar Ibrahim & Gang ini hakikatnya bukanlah sesuatu yang membawa kebaikan kepada pengikut beliau khususnya serta negara amnya.

Amat menyedihkan sebenarnya tatkala memikirkan kebolehan dan kelebihan yang dikurniakan tuhan kepada Anwar Ibrahim di dalam menagih sokongan terhadapnya telah disalah gunakan hanya untuk kepentingan peribadi semata-mata. Karisma yang dimilikinya digunakan untuk mengaburi mata sekutu dan para penyokongnya sehinggakan secara sedar atau tidak, mereka-mereka itu adalah zombi ataupun ‘tentera bergajah’ yang sanggup berkorban apa sahaja untuk pemimpin maksum mereka itu.

Antara ‘silibus-silibus’ yang ditawarkan ‘ajaran Anwar Ibrahim’ ini adalah seperti menggadai kesucian agama Islam kepada bukan Islam, merendahkan martabat kaum Melayu di Malaysia, menjual kepentingan negara kepada orang luar, mempertikaikan kedudukan raja-raja Melayu, tidak menghormati undang-undang negara dan sebagainya.

Ajaran Anwar Ibrahim ini nyatanya berbeza dengan konsep ‘Transformasi’ yang menjadi teras kepada pentadbiran negara ketika ini yang terbukti lebih mementingkan integriti, lebih tersusun, menepati agenda Wawasan 2020 dan berkredibiliti. Walaupun sedikit sebanyak wujud sedikit kekurangan di dalam beberapa sektor, namun berdasarkan pemerhatian serius yang dibuat oleh penulis sejak dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pemerintahan negara beberapa tahun lalu, kedudukan sosio-ekonomi Malaysia semakin bertambah baik berbanding sebelumnya.

Mengaitkannya dengan perkembangan semasa 2015 ini, tindakan PAS dan DAP untuk memutuskan hubungannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membawa kepada terkuburnya Pakatan Rakyat (Pakatan) baru-baru ini mungkin adalah petanda bahawa PAS dan DAP telah sedar bahawa mereka selama menjalinkan hubungan dengan PKR, sebenarnya telah banyak kali dipermainkan.

Kalau nak ikut logik pun sebenarnya, Pakatan selama kewujudannya boleh kita anggap seperti ‘pendatang haram’ kerana kerjasama mereka itu bukanlah satu kerjasama yang ‘halal’ atau lebih tepat lagi, rasmi. Kerjasama yang dijalinkan antara ketiga-tiga parti tersebut pun tak salah jika dianggap seperti ‘cinta monyet’ dengan merujuk kepada krisis-krisis ataupun pergeseran yang wujud di antara ketiga-tiganya.

Justeru, memang ada baiknya Pakatan lenyap daripada terus menimbulkan kekeliruan terhadap bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia, bahkan juga di peringkat antarabangsa dek kerana hasutan-hasutan yang dibawa oleh Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncunya.

Namun begitu, sedikit pertikaian penulis adalah mengenai status kerajaan negeri Selangor yang ketika ini masih lagi ditadbir oleh Azmin Ali selaku Menteri Besarnya. Penulis tertanya-tanya apakah efektif kerajaan negeri Selangor ini? Apakah wujudnya keharmonian dalam kerajaan yang dibentuk oleh tiga parti yang ‘bercerai’ ini? Di tahap manakah kesefahaman yang masih wujud dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor ini?

Mengorek lebih dalam lagi, justeru bukanlah sesuatu yang menghairankan sebenarnya menyaksikan wujudnya ‘bahagian-bahagian’ yang dipecah-pecahkan hatta untuk jabatan-jabatan kerajaan negeri sekalipun yang lokasinya cukup mengelirukan. Ini berdasarkan kepada pengalaman peribadi penulis ketika berurusan dengan agensi kerajaan seperti Majlis Agama Islam Selangor dan beberapa agensi lagi. Susunan pentadbirannya sangat bercelaru berbanding yang disusun ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Apapun, harapnya keadaan di negeri Selangor akan bertambah baik Aidilfitri ini terutamanya yang melibatkan kehadiran pendatang asing yang sangat-sangat tidak diingini oleh kebanyakan warga Malaysia.

Akhir sekali, berdasarkan rekod semasa yang ditampilkan oleh pentadbiran kerajaan negeri Selangor ketika ini, adalah sesuatu yang sangat-sangat tidak dapat diterima sekiranya para pengundi di negeri ini masih mengekalkan kerajaan negeri yang wujud ketika ini untuk kekal memegang jawatan. Sangat tidak layak sebenarnya untuk para penyokong ‘ajaran Anwar Ibrahim’ untuk terus mempertahankan ‘anugerah tuhan’ mereka itu. Secara tidak langsung, rekod kerajaan negeri Selangor ini juga seharusnya dijadikan sebagai ‘amaran’ kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kelantan supaya meningkatkan lagi prestasi mereka.

Memandangkan carian penulis mengenai Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih tergantung ketika ini, justeru sekiranya berkesempatan dan setelah menemui fakta berhubung pelantikan Ketua Menteri, Insyaallah penulis akan cuba mengintai kedudukan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri memandangkan beliau bukanlah berasal dari negeri Pulau Pinang.

Oleh: Aidil Syukri

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.