Kiriman pada: Sat, Dec 31st, 2016

Bicara Kes GST Datuk Seri Vida Pada 9, 10 Mac

Kongsi maklumat ini
Tags

Ipoh – Mahkamah Sesyen di sini, sebentar tadi, menetapkan perbicaraan kes pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida yang didakwa atas 16 pertuduhan gagal membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM4.2 juta pada 9 dan 10 Mac depan.

Hakim Murtazadi Amran menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, memaklumkan tertuduh mahu dirinya dibicarakan.

Murtazadi juga membenarkan pelepasan sementara pasport Hasmiza selepas peguamnya, Khairil Azwar Khalil mengemukakan permohonan berkenaan kerana tertuduh perlu ke luar negara termasuk menunaikan umrah pada Februari ini.

“Selepas memberi pertimbangan kepada permohonan tertuduh dan mendengar hujah pihak pendakwa, saya menggunakan budi bicara untuk melepaskan sementara pasport tertuduh dan ia perlu dikembalikan selewat-lewatnya 6 Februari ini,” katanya.

Terdahulu, Raja Rozela membantah permohonan pelepasan sementara pasport kerana ia tidak dibuat melalui afidavit, sebaliknya permohonan bersifat kenyataan peguam yang tidak boleh dipercayai dan boleh berubah-ubah.

Hasmiza sebelum ini didakwa atas 32 pertuduhan iaitu 16 pertuduhan kerana gagal mengemukakan penyata GST dari tempoh 1 April 2015 hingga 31 Julai lalu, manakala 16 pertuduhan lagi kerana gagal membayar cukai itu.

Bagaimanapun, pada 15 Disember lalu, dia mengaku salah kepada 16 pertuduhan mengikut Seksyen 41(6) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan iaitu gagal mengemukakan penyata GST, Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM80,000 pada hari berkenaan.

Bagi 16 lagi pertuduhan mengikut Seksyen 41 (7) akta sama atas kesalahan gagal membayar GST itu, dia mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mahkamah hari ini menetapkan tarikh sebutan kesnya.

Tertuduh yang memiliki produk kesihatan Pamoga dan produk kecantikan Qu Puteh, dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, Jalan Tun Abdul Razak, di sini.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.