Kiriman pada: Mon, Dec 19th, 2016

Bidang Sukan Lebih Utamakan Wang, Bukan Prestasi

Kongsi maklumat ini
Tags

Putrajaya – Masyarakat dan atlet masa kini dilihat lebih bersifat materialistik berbanding atlet zaman dahulu yang hanya mengutamakan kecemerlangan serta kemenangan membawa kebanggan kepada negara.

Pengkritik sukan tanah air, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, berkata pemantauannya mendapati wang pada masa kini boleh menentukan keputusan sesebuah perlawanan sukan.

“Dulu, kita mesti capai kecemerlangan walaupun perlu bersaing. Persaingan dalam bidang sukan bukanlah satu perkara yang salah asalkan ia dilakukan secara sihat, adil dan tidak main kotor seperti yang berlaku dalam sukan bola sepak sekarang.

“Kini, ungkapan berjuta atau berbilion ringgit sering kedengaran dalam arena sukan, dulu kita tidak pernah dengar ungkapan ini (juta dan bilion),” katanya pada Seminar Pengurusan Fasiliti Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).

Kay Kim, yang menyampaikan syarahan bertajuk ‘Sejarah Perkembangan Pembangunan Fasiliti Sukan di Malaysia’ pada seminar berkenaan berkata, semangat anak muda kini tidak sama seperti dahulu, sekali gus menyukarkan mereka mencapai kejayaan dalam bidang sukan.

“Jika dilihat dari segi persediaan sukan, seolah-olah mereka (ahli sukan) dipaksa.

Kami dahulu lakukan secara sukarela sehingga ada yang sanggup melawan ibu bapa kerana mahu menceburi bidang sukan tertentu.

“Justeru, saya cadangkan supaya bidang sukan ini diajar sejak bangku sekolah kerana kita dapat terapkan sejak awal lagi kepada pelajar mengenai nilai pengorbanan untuk negara dan bangsa serta membuang sifat pentingkan diri sendiri,” katanya.

Mengenai pembabitan ahli politik dalam bidang sukan, Kay Kim berkata, ia tidak menjadi halangan tetapi perlu berpandukan pada peraturan, undang-undang dan keinginan untuk melihat bidang berkenaan mencapai kecemerlangan.

“Jika pembabitan ahli politik dalam sukan tertentu hanya bermatlamat mengaut keuntungan, sudah tentu tidak boleh diterima.

“Sebagai pemimpin masyarakat mereka seharusnya menggunakan gelaran ini dengan baik untuk memimpin atlet dan penyokong sukan tertentu,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.