Kiriman pada: Thu, Feb 9th, 2017

BN Garis 17 Teras Manifesto Tanjong Datu

Kongsi maklumat ini
Tags

Lundu – Barisan Nasional (BN) menggariskan 17 perkara dalam manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu yang dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, hari ini.

Perkara utama yang akan diperjuangkan ialah meneruskan usaha mengembalikan hak Sarawak, melindungi keselamatan rakyat daripada pencerobohan pendatang tanpa izin; menghormati budaya, tradisi dan agama setiap rakyat.

Turut ditawarkan, mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam kalangan rakyat, melindungi hal pemilik tanah hak adat Bumiputera, memelihara dan melindungi alam sekitar serta menjaga kebajikan golongan kurang bernasib baik.

Selain itu, BN juga berjanji memberikan lebih banyak rumah mampu milik dan kos rendah, mempercepatkan pembinaan jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik dan telekomunikasi.

BN juga mahu menambahbaik dan meluaskan liputan perkhidmatan kesihatan, menggalakkan lebih banyak penyertaan dan mewujudkan peluang untuk wanita dalam aktiviti aktiviti sosio ekonomi serta membangunkan potensi dan meningkatkan peluang pekerjaan untuk belia.

Dalam usaha meningkatkan kelayakan akademik anak muda Tanjong Datu, BN menyediakan pendidikan teknikal menerusi Centre of Techical Excellence (CENTEXS), mengiktiraf pendidikan Cina, menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua, menyediakan lebih banyak premis perniagaan untuk usahawan dan mentransformasi Lundu serta Sematan sebagai destinasi pelancongan utama Sarawak.

Turut hadir pada majlis pelancaran manifesto itu yang diadakan di Dewan Masyarakat Lundu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan serta Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Fatimah Abdullah.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.