Kiriman pada: Sun, Feb 5th, 2017

BN Mulakan Program Gerak Gempur

Kongsi maklumat ini
Tags

Lundu – Barisan Nasional (BN) sudah memulakan program gerak gempurnya, dengan keseluruhannya 10,000 poster bersama 12,000 bendera dan 10,000 lencana bakal diagihkan bagi membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu, esok.

Pemangku Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tanjong Datu, Abu Seman Karim, berkata jentera pilihan raya di peringkat akar umbi sudah mula bergerak, membabitkan penyertaan 37 cawangan parti berkenaan.

“Bagi program gerak gempur ini, fokus utama kita ialah untuk menarik lebih ramai pemilih keluar mengundi pada hari pengundian.

Malah, tumpuan utama kempen adalah dari rumah ke rumah bertujuan meningkatkan jumlah peratus pemilih keluar mengundi kali ini.

“Sayap Wanita dan Pemuda PBB dari semua ranting (cawangan) akan berkempen dari rumah ke rumah, manakala sayap Bapa akan mengadakan program besar di kesemua pusat daerah mengundi (PDM) dalam kawasan Tanjong Datu,” katanya.

Program berkenaan turut mendapat bantuan rakan komponen lain, termasuk Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi memastikan kemenangan besar calon BN, Puan Sri Jamilah Anu.

“Kita sudah bersedia sepenuhnya, dengan program gerak gempur dilaksanakan berpandu kepada strategi disusun oleh Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Tanjong Datu, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar,” katanya.

Sementara itu, Abu Seman yakin penduduk Tanjong Datu pasti memberikan sokongan padu kepada Jamilah bagi meneruskan aspirasi besar suaminya, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem untuk membangunkan kawasan itu.

“Puan Sri Jamilah (Anu) sering `turun padang’ bersama Tok Nan ketika hayatnya… meninjau pemasalahan setempat dan mendekati rakyat.

Beliau sudah biasa di Tanjong Datu dan kawasan sekitarnya, malah pendekatannya yang saling tidak tumpah seperti Tok Nan pasti mendapat sokongan padu rakyat,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.