Kiriman pada: Thu, Feb 9th, 2017

BN Sasar Majoriti Lebih Besar

Kongsi maklumat ini
Tags

Sematan – Pengundi Barisan Nasional (BN) di Tanjong Datu diminta tidak mengambil mudah pertandingan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 18 Februari ini, sebaliknya berusaha meningkatkan majoriti kepada calonnya.

Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi, Dr Annuar Rapaee, berkata anggapan mampu menang mudah amat berbahaya kerana ia boleh mendorong kemerosotan jumlah keluar mengundi.

Justeru beliau menggesa agar pengundi di Tanjong Datu supaya keluar beramai-ramai pada hari pengundian.

“Memang ramai yang meramalkan BN menang, tetapi kita mahu kemenangan itu dicapai dengan majoriti lebih besar.

“Kita sekarang berada di landasan betul untuk mencapai sasaran itu, namun ia hanya menjadi kenyataan jika penyokong kita keluar beramai-ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyertai penduduk Kampung Tanah Hitam pada majlis tahlil Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di Masjid Nurul Islam.

Pada pilihan raya 2006, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem mendapat 4,545 undi dan menang dengan majoriti 4,136 undi manakala calon lawan iaitu Sobey Daud dari PKR hanya mendapat 409 undi dan calon Bebas, Larry Dominic Linang hanya memperoleh 357 undi.

Pada 2011, Adenan mempertahankan kerusi itu dan mendapat 4,218 undi dengan majoriti sebanyak 3,216 undi apabila lawannya Nani Sahari dari PAS mendapat 1,002 undi manakala calon Bebas Gilbert Asson Kulong hanya 215 undi.

Pada 2016 Adenan memperoleh 6,360 undi dengan majoriti sebanyak 5,892 manakala calon PKR, Jazolkipli Numan, hanya mendapat 468 undi.

Sejak 2006 hingga 2016, empat daripada lima calon yang bertanding menentang BN, hilang wang deposit.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.