Kiriman pada: Thu, Jul 9th, 2015

BNBBC Perak Gesa Dakwa Individu Bocor Maklumat 1MDB

Kongsi maklumat ini
Tags

darhstjIpoh – Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional Perak menggesa pihak berkuasa supaya mencari dan mendakwa individu yang membocorkan maklumat sulit yang mencetuskan isu pemindahan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengerusinya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata perkara itu perlu dilakukan segera oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM)dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Perbuatan membocorkan maklumat seumpama itu adalah amat serius, tambahan pula ia disalurkan ke luar negara khususnya kepada The Wall Street Journal (WSJ) dan portal berita Sarawak Report yang berpangkalan di London.

“Niatnya ialah mahu menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat secara demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan.

The Wall Street Journal dan Sarawak Report telah menerbitkan artikel minggu lepas yang mendakwa hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dalam dana 1MDB telah disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib telah menafikan dakwaan itu sebagai sabotaj politik dan rancangan untuk menjatuhkan perdana menteri yang dipiih secara demokrasi. Beliau telah memulakan tindakan undang-undang terhadap WSJ.

Pasukan Petugas Khas yang terdiri daripada pegawai Pejabat Peguam Negara, BNM, PDRM dan SPRM sedang menyiasat dakwaan tersebut dan telah mengarahkan pembekuan enam akaun bank.

Mohd Khusairi yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim berkata BNM, PDRM dan SPRM perlu membekalkan maklumat secukupnya kepada Peguam Negara supaya individu terbabit boleh didakwa secepat mungkin.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk mendakwa mana-mana orang yang didapati telah membocorkan maklumat sulit berkaitan siasatan itu kerana pendedahan tersebut merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 133 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Seksyen 145 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.