Kiriman pada: Tue, Aug 18th, 2015

Bom Bangkok: Mayat bergelimpangan atas jalan

Kongsi maklumat ini
Tags

Scores of casualties reported as explosion rocks central BangkokBANGKOK: Suasana di persimpangan Ratchaprasong malam tadi yang lazimnya sibuk tiba-tiba bertukar menjadi amat menakutkan apabila letupan bom menggegarkan kawasan pelancongan terkenal itu, mengorbankan 22 orang, termasuk dua rakyat Malaysia selain mencederakan berpuluh-puluh yang lain.

Seorang pelancong dari Republik Czech yang hanya mahu dikenali sebagai Meck, menyifatkan lokasi pengeboman itu sebagai dahsyat kerana terdapat banyak mayat yang bergelimpangan di atas jalan raya.

“Saya berada di sebuah pusat beli-belah berhampiran dan apabila terdengar letupan, saya segera bergegas keluar manakala orang ramai pula menjerit-jerit sambil bertempiaran lari bagaikan diserang histeria.

“Saya berlari menuju tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku dan dari jauh lagi saya boleh nampak kebakaran dan asap,” katanya kepada pemberita di sini.
Letupan pada 7 malam tadi, (8 malam waktu Malaysia) berlaku di persimpangan Ratchaprasong, berhampiran kuil Hindu terkenal, Kuil Erawan dan kawasan beli-belah mewah di Bangkok. Letupan itu turut memusnahkan beberapa kereta dan motosikal. Penjaja di sepanjang jalan itu juga dipercayai antara mangsa letupan berkenaan. Meck yang belum pernah menyaksikan letupan seperti itu sebelum ini, berkata setibanya di tempat kejadian, dia mendapati beberapa mangsa berlumuran darah bergelimpangan di atas tanah, ada antaranya masih hidup. “Mangsa bergelimpangan di beberapa tempat dan ada antara mereka yang hilang anggota badan, darah pula ada di mana-mana. Saya berasa sungguh takut untuk terus berada di situ kerana bimbang berlaku lagi letupan, jadi saya pun beredar. “Sememangnya amat menyakitkan dan menyedihkan untuk melihat insiden seperti ini berlaku di bandar raya yang aman damai seperti Bangkok. Doa saya bagi keluarga mangsa yang terkorban,” katanya. Pusat beli-belah berhampiran, Siam Centre dan Siam Paragon, ditutup awal pada 9.30 malam berikutan letupan itu. Seorang wartawan akhbar Sin Chew, Soh Li Nah yang berada di Bangkok untuk menyertai lawatan media, berkata dia terdengar letupan kuat dan merasai gegaran semasa dalam perjalanan untuk makan malam di sebuah hotel berhampiran. “Kami semua menaiki sebuah van dan kami sangkakan ia bunyi guruh yang kuat, jadi kami tidak mengendahkan saja bunyi itu. “Tidak lama kemudian kami mendapat tahu tentang letupan itu dan saya sangat terperanjat dengan insiden itu. Saya tidak pernah menyangka akan melalui pengalaman ini dalam kunjungan pertama saya ke Bangkok,” katanya. Persimpangan Ratchaprasong di tengah-tengah Bangkok adalah lokasi tunjuk perasaan oleh kumpulan Baju Merah pada 2010 dan PDRC (Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat) diketuai oleh Suthep Thuaksuban pada 2014, yang berkesudahan dengan rampasan kuasa oleh tentera dan penyingkiran bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra. Sungguhpun insiden pengeboman itu berlaku tidak jauh dari stesen Chitlom bagi perkhidmatan kereta api Bangkok Train Service atau lebih dikenali sebagai ‘skytrain’, perkhidmatan itu terus beroperasi.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.