Kiriman pada: Sun, Jan 29th, 2017

Bot Hilang Kali Terakhir Dilihat Di Perairan Pulau Sapi

Kongsi maklumat ini
Tags

Kota Kinabalu – Bot membawa 31 orang termasuk 28 pelancong China yang hilang ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum semalam, kali terakhir dilihat di perairan Pulau Sapi.

Perkara itu dimaklumkan seorang pemandu bot yang membawa sekumpulan pelancong ke Pulau Mengalum dan bergerak pada masa sama dengan katamaran yang dilaporkan hilang itu.

Arwin Musbir, 24, berkata bot dikendalikannya bergerak seiring bot membawa pelancong China terbabit, kira-kira jam 9 pagi.

“Saya tidak pasti berapa ramai pelancong dalam bot itu tetapi ada kanak-kanak. Ketika bot kami menghampiri Pulau Sapi, bot mereka di belakang.

“Bagaimanapun, ketika melepasi pulau itu, saya tidak nampak lagi bot terbabit.

“Saya sangkakan mereka singgah di Pulau Sapi, Kami tiba di Pulau Mengalum pada jam 11 pagi dan sehingga bergerak pulang kira-kira jam 4 petang, bot mereka tidak sampai namun saya tidak syak apa-apa,” katanya ketika ditemui di Jeti Jesselton di sini, sebentar tadi.

Ketika dalam perjalanan ke Pulau Sapi, Arwin ada bertanya kepada pemandu bot lain jika ternampak bot pelancong terbabit.

Bagaimanapun, katanya, tiada pemandu bot mendakwa melihat katamaran berkenaan termasuk di Pulau Sapi.

“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, saya memaklumkan perkara itu kepada pemilik bot dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) sebaik di Jeti Tanjung Aru, lewat petang semalam,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.