Kiriman pada: Sun, Jan 15th, 2017

BR1M Mungkin Diteruskan Parti Campuran

Kongsi maklumat ini
Tags

Shah Alam – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan diteruskan jika parti campuran itu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Kenyataan itu jelas bercanggah dengan dakwaan beliau baru-baru ini yang melabelkan BR1M kononnya rasuah yang diberi oleh kerajaan.

“Jika didapati BR1M mustahak maka wang ini akan diagih oleh pegawai kerajaan. BR1M tidak boleh dimasukkan dalam mana-mana manifesto mana-mana parti (campuran).

“Jika dipersetujui oleh rakyat, BR1M akan dijadikan bantuan ‘statutory’ yang ditentukan oleh undang-undang dan bajet biasa.

“Perdana Menteri tidak boleh tentukan pemberian ini atau jumlahnya, atau cara penyampaiannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada perasmian parti PPBM di Stadium Malawati di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad; Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Majlis Pelancaran PPBM di Stadium Malawati malam ini dihadiri kira-kira 3,000 ahlinya dalam stadium yang boleh menempatkan seramai 13,000 orang.

Sementara itu, kebanyakan ahli dilihat meninggalkan stadium berkenaan sebaik ucaptama daripada Dr Mahathir dan pelancaran parti itu selesai, sebelum sempat Muhyiddin berucap.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, mana-mana parti lain yang turut bertanding menentang Barisan Nasional (BN) selain satu parti campuran dalam kalangan parti pembangkang dilihat bertujuan memecahkan sokongan rakyat.

Tanpa menyatakan mana-mana pihak, Dr Mahathir berkata, dalam parti campuran, sebarang perbuatan untuk melawan BN dengan meletakkan calon oleh parti lain ia adalah tindakan untuk mengkhianati rakyat yang berhasrat menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui pilihan raya.

“Parti Pribumi Bersatu akan menjadi komponen dalam parti campuran ini. Kita campuran pembangkang akan guna satu simbol, satu manifesto dan meletakkan satu calon sahaja dalam tiap satu kawasan.

“Semua parti-parti komponen akan sokong calon yang satu ini, tidak akan ada calon lain yang mewakili parti campuran kita,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap, Muhyiddin berkata, tumpuan akan diberikan terhadap soal mengukuhkan integriti dalam pentadbiran kerajaan sekiranya pembangkang diberikan mandat oleh rakyat.

Katanya, reformasi institusi akan dilaksanakan untuk meningkatkan integriti dalam kalangan pimpinan kerajaan dan penjawat awam.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.