Kiriman pada: Tue, Dec 27th, 2016

BR1M Sama Seperti Wang Ehsan Zaman Mahathir

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah sama dengan rasuah dan menyalahi undang-undang sangat mengelirukan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata ini kerana pemberian BR1M adalah sama seperti program bantuan kebajikan kepada rakyat yang sudah dilaksanakan kerajaan sebelum Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Malah sejak tahun 2000, di bawah pentadbiran Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri itu memperkenalkan bantuan yang sama seperti BR1M dikenali bantuan Wang Ehsan kepada rakyat Terengganu.

“Wang Ehsan adalah program bantuan khas khusus untuk Terengganu. Selepas melaksanakan program bantuan Wang Ehsan, kini Dr Mahathir menukar pendirian dan mengutuk BR1M,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di dalam blognya sskeruak.blogspot.my hari ini.

Salleh turut mempertikaikan kenyataan Dr Mahathir yang sanggup mengklasifikasikan program bantuan untuk rakyat sebagai rasuah.

“Bagaimana Dr Mahathir boleh mengklasifikasikan program bantuan sebagai rasuah? Bagaimana pula dengan pemberian pelepasan cukai dan rebat lain, adakah itu juga dikatakan rasuah? Bagaimana pula bantuan zakat? Semua bentuk bantuan itu sama seperti BR1M?.

“Adakah Dr Mahathir ingin katakan jika pembangkang berkuasa kelak, semua program bantuan dan kebajikan akan dimansuhkan? Mahathir perlu menjelaskan tentang perkara ini,” katanya.

Semalam, Mahathir dilaporkan berkata, pemberian BR1M adalah rasuah dan salah di sisi undang-undang serta digunakan Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Razak, bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum Ke-14 (PRU14).

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.