Kiriman pada: Tue, Aug 18th, 2015

Buang Masa Melayan Isu-Isu Seperti Ini

Kongsi maklumat ini
Tags

yksrhSABAK BERNAM – Dua Ahli Parlimen BN Selangor dari Sungai Besar dan Sabak Bernam menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan tidak melayan sebarang usaha menukar kerajaan menerusi undi tidak percaya.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon berkata, sebagai pendukung dan menjunjung sistem demokrasi, beliau akan terus memberikan sokongan tanpa berbelah-bahagi kepada Najib untuk terus mentadbir negara dan parti itu.

“Saya rasa membuang masa untuk melayan isu-isu seperti ini (isu tukar kerajaan). Pada saya, kita habiskan tempoh pentadbiran, kalau ada apa-apa isu berbangkit kita ikut proses demokrasi yang selama ini kita guna dan hormati,” katanya.

Noriah yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Sungai Besar memberitahu, Wanita bahagian itu akan membawa usul menyokong kepimpinan Perdana Menteri pada mesyuarat perwakilan Wanita bahagian pada 22 Ogos ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, beliau dan ahli akar umbi telah menzahirkan sokongan sebulat suara kepada kepimpinan Perdana Menteri pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sabak Bernam, Sabtu lalu.

“Semua 66 perwakilan cawangan di Parlimen Sabak Bernam beri sokongan dan Umno bahagian sendiri telah membawa usul utama politik untuk menyatakan sokongan kami kepada institusi Perdana Menteri dan Presiden Umno,” katanya.

Beliau turut menzahirkan keyakinan penuh dengan kewibawaan Najib untuk menangani segala kemelut yang dihadapi beliau dan seterusnya memimpin negara ini.

“Saya melihat kepimpinan Perdana Menteri telah memberikan banyak sumbangan dan gerak kerja kepada rakyat. Saya yakin masalah ini dapat diselesaikan segera,” ujarnya.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.