Kiriman pada: Tue, Jul 14th, 2015

Bufet Hari Kebangsaan, Tarikan Baharu Sambutan Hari Kebangsaan 2015

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI AHMAD SHABERY CHEEKPutrajaya – Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini menampilkan beberapa kelainan seperti penganjuran Bufet Hari Kebangsaan serta penampilan khas malim gunung pada perarakan Hari Kebangsaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata hotel-hotel terpilih di seluruh negara yang terlibat dengan penganjuran bufet bermula 28 Ogos hingga 16 Sept akan menghiasi hotel dan tempat makan bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan.

“Tiada garis panduan berhubung cara hiasan, terserah kepada kreativiti pihak hotel asalkan ia menepati tema sambutan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kali ketiga Jawatankuasa Induk Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2015 di pejabatnya.

Beliau berkata ia merupakan penganjuran secara sukarela yang dipersetujui pengusaha dan persatuan perhotelan, serta disokong Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2015 yang bertemakan #sehatisejiwa itu, sebanyak 24 acara diatur bermula dengan pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang pada 8 Ogos ini di Padang Merdeka di Kuching, Sarawak, katanya.

Katanya antara acara yang dijangka memberi impak besar kepada sambutan ialah Larian #sehatisejiwa, KL Garden Festival #sehatisejiwa serta Jualan Hari Kebangsaan pada 29 hingga 31 Ogos di pusat beli-belah di seluruh negara.

Berhubung keselesaan mereka yang menghadiri perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung di Dataran Merdeka, Ahmad Shabery berkata pihaknya akan menyediakan lebih 10,000 teres tempat duduk penonton selain paparan skrin LED yang lebih besar di lokasi tertentu.

Beliau berkata penambahan itu akan membolehkan pengunjung menikmati persembahan dengan lebih selesa berbanding sebelum ini di mana teres hanya disediakan untuk orang kenamaan dan jemputan khas.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.