Kiriman pada: Wed, Dec 16th, 2015

Bukan Semua Alkohol Itu Arak

Kongsi maklumat ini
Tags

fhstSHAH ALAM – Bukan semua alkohol itu adalah arak namun setiap minuman arak mengandungi alkohol.

Demikian penjelasan Bahagian Pengurusan Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia tentang alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan yang menjadi kekeliruan orang ramai sebelum ini.

“Alkohol yang diperoleh daripada proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis. Manakala alkohol yang diperoleh bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh,” kata kenyataan dari laman Facebook itu.

Sementara, minuman ringan yang diproses atau dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.

“Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

“ Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan atau diminum,” katanya.

Katanya lagi, makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan daripada proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.

“Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia 14 hingga 16 Julai 2011 memutuskan perkara ini setelah mengambil kira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu.

Selain turut mendengar taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.