Kiriman pada: Mon, Jan 30th, 2017

Bukti Tabung Haji Diiktiraf Arab Saudi

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Pengembalian semula kuota jemaah haji Malaysia membuktikan pengiktirafan kerajaan Arab Saudi kepada Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) kerana tidak semua negara mendapat balik jumlah kuota jemaah yang dikurangkan sejak 2013 itu.

Pensyarah Haji dan Umrah, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Lukmanul Hakim Hanafi berkata, dalam hal ini, Arab Saudi amat menitikberatkan kualiti pengurusan haji dan Tabung Haji sebagai agensi terlibat terbukti berjaya memikul amanah ini dengan cemerlang.

Katanya, ini juga membuktikan serangan berterusan oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli ke atas agensi itu tidak pernah berasas kecuali bagi tujuan politik semata-mata.

“Kuota sebanyak 27,900 jemaah berbanding 22,230 orang sejak 2013 itu bukan sahaja menangkis dakwaan Rafizi, malah turut menunjukkan pengurusan Tabung Haji mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Arab Saudi.

“Tindakan Rafizi amat menge­ce­wakan kerana beliau sanggup menggunakan Tabung Haji iaitu sebuah institusi Islam demi kepentingan politiknya sehingga ramai bertindak menutup akaun sekali gus mengakibatkan mereka hilang giliran menunaikan ibadah haji,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Lukmanul Hakim turut menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh de­ngan dakyah pihak pembangkang yang terus-terusan cuba mengaitkan institusi itu dengan politik.

“Mereka cuba mengaitkan Tabung Haji yang dipengerusikan pemimpin UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dengan penyelewengan yang bukan sahaja tidak pernah wujud, sebaliknya diurus dengan baik sehingga mendapat kepercayaan Arab Saudi.

“Orang ramai yang bertindak mengeluarkan deposit mereka bukan sahaja hilang giliran haji, malah mereka juga kehilangan pulangan pelaburan yang mampu menjamin masa hadapan masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, pengumuman oleh Tabung Haji itu sememangnya ditunggu orang ramai sejak tahun 2013.

“Kuota baharu ini akan memendekkan tempoh giliran mereka yang telah berdaftar dengan Tabung Haji dan syarikat agensi pelanco­ngan yang mendapat lesen untuk menguruskan jemaah haji juga bakal mendapat manfaat daripadanya.

“Jika sebelum ini agensi pelancongan yang menguruskan haji umpama nyawa-nyawa ikan, kini dengan pengembalian kuota ini da­patlah mereka mengekalkan per­­khid­matan mereka di samping meningkatkan pendapatan,” katanya.

Kelmarin, Tabung Haji dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Arab Saudi secara rasmi mengembalikan semula kuota jemaah haji Malaysia kepada 27,900 orang untuk musim haji tahun ini berbanding 22,230 orang sejak 2013.

Menurut kenyataan itu juga, walaupun kos haji meningkat kepada RM19,550 seorang berban­ding RM18,890 tahun lalu, Tabung Haji masih dapat mengekalkan bayaran haji RM9,980 untuk seorang jemaah menjadikan subsidi ditanggung setiap jemaah adalah RM9,570.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.