Kiriman pada: Sun, Jan 8th, 2017

Busana Melayu Untuk Dunia

Kongsi maklumat ini
Tags

Pakaian tradisi adalah representasi bagi ketinggian falsafah pemikiran manusia yang menghasilkannya, kemahiran pembuatan tangan yang tinggi dengan penguasaan teknologi.

Memakainya ke mana-mana akan menjadi sepertimana keris yang mempamer dan mewarwarkan kepada setiap mata yang melihat akan pencapaian, kebanggaan dan maruah bangsa. Sebab itu adat ‘memakai’ memang illahnya untuk dilihat, tapi dilihatnya demi maslahah.

Maka apabila timbul ribut lewat berbusananya Faiz Subri, kita perlu merinci kembali sudut pandang kita. Tika ini kita perlu melihat beliau pergi ke sana sebagai seorang wakil negara dan bangsa, bukan lagi atas kapasiti individu. Beliau ke sana tidak jauh beza dengan pemergian raja-raja pemerintah negara. Etika dan penampilan beliau akan menentukan duduk letak keterampilan identiti yang beliau wakili.

Sesungguhnya, sepertimana warisan naskhah persuratan lama, busana juga adalah warisan yang jika meminjam kata-kata Dr. Annabel Gallop sebagai “the authentic voices from the past”, kita muncul dalam ruang sosio-masyarakat hari ini disebabkan daya survival yang tinggi dari ratusan tahun dan ribuan tahun silam.

Fabrik yang ditenun menjadi busana yang megah itu datangnya dari benang-benang berselirat yang tidak terhitung banyaknya dari pelbagai zaman, tempat dan masyarakat, ironinya akhirnya terhimpun harmoni dan sempurna, indah tampak pada mata dan mendamaikan jiwa. -tm


Gambar : –
Raja-raja Melayu dengan bangganya membawa busana bangsa kita ke benua Eropah. Di sini kelihatan Tengku Mansur dari negeri Kualuh serta Tengku Pangeran Kamil dari negeri Langkat pada resepsi perkahwinan Puteri Juliana dengan Putera Bernhard, 7 Januari 1937, di The Hague, Belanda.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.