Kiriman pada: Thu, Feb 9th, 2017

Cadangan Ku Nan Tak Wakili Kerajaan

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lmpur – Cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor menjadikan Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian Melaka sebagai Wilayah Persekutuan, tidak mewakili pandangan kerajaan.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan itu adalah pandangan peribadi Tengku Adnan.

Beliau bersetuju dengan pandangan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman dan pakar Perlembagaan, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi bahawa cadangan itu adalah perkara yang sangat rumit.

Azalina berkata, cadangan itu tidak boleh dilakukan melalui kenyataan berbentuk politik atau kenyataan dasar, sebaliknya perlu bersandarkan Perlembagaan Persekutuan dan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan secara mendalam.

“Secara ringkasnya, sempadan sesuatu negeri hanya boleh diubah jika tiga perkara dipenuhi iaitu keizinan negeri, Majlis Raja-Raja serta Parlimen dengan majoriti dua per tiga.

“Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan memberi kebenaran kepada Parlimen untuk menerima negeri lain masuk ke dalam Persekutuan atau mengubah mana-mana sempadan negeri.

“Bagaimanapun, perundangan mengubah sempadan negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri yang dinyatakan melalui Badan Perundangan Negeri dan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tengku Adnan yang menyatakan hasrat untuk Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian Melaka sebagai tambahan kepada Wilayah Persekutuan sedia ada.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan Abu Talib menjelaskan, hanya pindaan Perlembagaan Persekutuan boleh merealisasikan cadangan itu, manakala Shad Saleem berkata, perubahan sesuatu kawasan kepada Wilayah Persekutuan memerlukan prosedur yang kompleks.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.