Kiriman pada: Mon, Nov 30th, 2015

Cadangan Pelaksanaan Insentif Bayaran ‘One-Off’ Pekebun Kecil Diteruskan

Kongsi maklumat ini
Tags

PG04_301115_BANJIRKuala Lumpur – Pelaksanaan insentif bayaran ‘one-off’ kepada pekebun kecil dan penoreh getah akan diteruskan berpandukan situasi kejatuhan harga getah dunia serta kedudukan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon berkata kerajaan akan menjalankan kajian dan pendekatan terbaik melaksanakan insentif itu bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan.

“Kita sedia maklum semua pekebun kecil terasa kesan kepada masalah ekonomi mutakhir ini termasuk kenaikan harga barang dan kerajaan secara prihatin telah memberi dua kali insentif bayaran ‘one off’.

“Pada masa akan datang sekiranya sangat kritikal, diiringi keupayaan negara akan terus membuat penelitian dan kajian,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Pasir Puteh) mengenai usaha kerajaan meneruskan bayaran ‘one off’ itu berikutan kenaikan harga barangan dan kedudukan harga komoditi itu yang dijangka merosot mengakibatkan pendapatan pekebun kecil terjejas.

Noriah berkata pelaksanaan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) juga telah diaktifkan di Sabah dan Sarawak selain diperluaskan di negeri lain di Semenanjung.

Menjawab soalan asal mengenai bentuk bantuan yang diberi kepada pekebun kecil, beliau berkata kerajaan menyediakan skim bantuan khas sebanyak RM500 seorang kepada pekebun kecil secara ‘ne off’ di seluruh negara pada 2013 dan 2014.

Menyentuh mengenai jumlah pekebun kecil dan keluasan tanah yang ditanami getah di Kelantan, beliau berkata menurut laporan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), sebanyak 43,763 pekebun kecil berdaftar di Kelantan yang mengusahakan tanah seluas 81,852 hektar merangkumi sejumlah 15.4 peratus keseluruhan pekebun kecil di negara ini.

Mengenai cadangan elaun sara hidup pekebun kecil, beliau berkata, kerajaan akan memikirkan mekanisme lain seperti bayaran ‘one off’ setahun sekali mengikut kesesuaian seperti ketika musim perayaan.

“Kalau kedudukan kewangan kerajaan semakin stabil, tidak mustahil kita bincang di Kabinet dan semua peringkat tertinggi kementerian,” kata Noriah menjawab soalan Dr Mansor Abdul Rahman (BN-Sik) mengenai cadangan elaun sara hidup kepada pekebun kecil seperti dinikmati golongan nelayan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.