Kiriman pada: Mon, Dec 19th, 2016

Calon PKR sertai PBRS

Kongsi maklumat ini
Tags

Keningau – Bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Danny Andipai, bersama 900 pengikutnya mengambil keputusan keluar daripada pembangkang untuk menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), di sini, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup, telah menerima borang keahlian yang diserahkan oleh Danny bersama 900 borang keahlian baharu yang lain, dalam majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan penyerahan borang keahlian PBRS di Kampung Takul, Nabawan, di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup, Setiausaha Politiknya, Richard Kastum; Ketua Exco Pergerakan Pemuda Pusat PBRS negeri, Matusin Bowie dan Bendahari PBRS, Edward Yong.

Danny yang juga pengerusi penganjur majlis itu berkata, beliau bertindak keluar daripada PKR selepas berasa yakin dengan perjuangan PBRS.

“Saya telah memerhatikan perkembangan PBRS sejak kalah dalam pertandingan di Parlimen Pensiangan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) 2008 atas tiket PKR.

“Saya mendapati perjuangan PBRS jujur dan ikhlas terutama dalam membantu rakyat selain membawa banyak pembangunan,” katanya.

Beliau bersama pengikutnya turut berasa kesal dengan tindakan mereka menyertai pembangkang pada masa lalu.

“Pembangkang telah terbukti hanya bergaduh antara satu sama lain kerana kepentingan peribadi masing-masing tanpa memikirkan kebajikan dan kepentingan rakyat.

“Oleh itu, saya meminta rakyat di kawasan Pensiangan untuk terus memberikan sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi kepada PBRS kerana ia adalah parti yang komited serta n mampu memperjuangkan masa depan rakyat,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.