Kiriman pada: Sun, Feb 5th, 2017

Calon STAR Bidas Rakan Pembangkang

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuching -Tidak sampai 24 jam selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Datu, pembangkang mula menunjukkan ‘keretakan’ dalam kalangan mereka.

Melalui satu kenyataan diedarkan kepada media hari ini, Presiden Parti Reformasi Sarawak (STAR), Johnny Bob Aput yang juga salah seorang calon bertanding mula menunjukkan ‘belang’ dengan membidas rakan pembangkang lain, khususnya PKR dan DAP kerana tidak mengemukakan calon mereka.

“Mereka menyatakan tindakan itu sebagai menghormati kematian Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Ini membolehkan Barisan Nasional (BN) menang mudah, “Ini menunjukkan bahawa kesejahteraan rakyat bukan kebimbangan utama mereka (pembangkang).

Jika mereka benar-benar prihatin akan rakyat, mereka tidak harus membiarkan BN menang tanpa bertanding walaupun rakyat di Tanjong Datu adalah penyokong-penyokong tegar BN,” katanya.

Beliau mempersoalkan bagaimana PKR dan DAP, serta rakan pembangkang lain mampu menarik sokongan rakyat sekiranya mereka tidak mengambil berat kebajikan rakyat.

“Bagaimana mereka boleh menyalahkan penduduk setempat kerana terus menyokong BN sedangkan mereka sendiri tidak mahu bertanding?,” katanya.

Beliau berkata, tindakan parti pimpinannya bertanding bukan disebabkan tidak menghormati atau menghargai segala jasa serta sumbangan Tok Nan, sebaliknya sekadar menyuburkan amalan demokrasi di negara ini.

“Kita mengamalkan demokrasi dengan bertanding (dalam pilihan raya), Kita tidak berbuat sesuatu yang salah dari segi undang-undang dengan menyertai pilihan raya ini,” katanya.

Menerusi pertandingan, sudah pasti Tanjong Datu menjadi tumpuan, sekali gus menyebabkan berlakunya limpahan projek pembangunan dan pelbagai ‘buah tangan’ daripada Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Selain Johnny, seorang lagi pencabar calon BN, Puan Sri Jamilah Anu ialah Rapelson Richard Hamit yang mewakili Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB).

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.