Kiriman pada: Wed, Nov 2nd, 2016

Campur Tangan Asing Dalam Dana Politik Ancam Kedaulatan Negara

Kongsi maklumat ini
Tags

camporKuala Lumpur – Campur tangan kuasa asing terhadap pembiayaan dana parti politik di negara ini tidak boleh dibiarkan agar kedaulatan negara tidak terancam, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata isu berkenaan amat serius kerana pemberian dana asing kepada organasisi tempatan boleh menaikkan atau menjatuhkan kepimpinan negara.

“Kalau dibiarkan berlaku tanpa ‘check’, bukan saja ada campur tangan asing terhadap politik dalam negara, tetapi ada ‘elemen of subversion’ sama ada dana itu datang secara sah dan tidak.

“Ini adalah satu daripada sebab kenapa UMNO dan Barisan Nasional mahukan ada satu undang-undang. Masalahnya sekarang kalau benar-benar ia berlaku, apakah ada undang-undang untuk mengawalnya?” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Biro Penerangan UMNO di sini hari ini.

Annuar mengulas laporan media semalam mengenai sebuah badan asing dipengerusikan jutawan George Soros didakwa membiayai beberapa organisasi tempatan dalam programnya bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

Annuar menegaskan kes seumpama ini memperkuatkan lagi keperluan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal selia dana politik, walaupun terdapat bantahan daripada pihak pembangkang.

Dalam pada itu beliau berkata UMNO setakat ini belum lagi membincangkan isu anggota Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, juga bekas Menteri Kewangan II, yang dikatakan mendedahkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Sejak Husni berucap di Parlimen, saya ada jumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam pelbagai hal, tiada pula PM bangkit.

“Saya ada jumpa setiausaha agung (UMNO)(Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) tak ada pun setiausaha bangkit. Saya ada jumpa kawan-kawan jawatankuasa biro politik pun tiada dibangkit. Tetapi esok lusa saya tak tahu,” katanya.

Sesi merekod keterangan Ahmad Husni (berhubung ucapannya di Parlimen) di Bukit Aman yang sepatutnya berlangsung semalam, ditangguh ke minggu depan.

Sementara itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) hari ini menyerahkan dokumen sulit sebanyak 24 muka surat, kepada pihak polis, dikatakan mengandungi bukti penglibatan John Pang dan George Soros yang didakwa membiayai dana kumpulan Bersih.

Presiden JMM Datuk Azwanddin (ulang: Azwanddin) Hamzah berkata sumbangan kewangan kepada Bersih dibuat menerusi Open Society Foundation (OSF) yang diterajui Soros.

Pang merupakan seorang daripada ahli lembaga OSF.

Azwanddin bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis dan menyerahkan dokumen terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Azwanddin berkata JMM memperolehi dokumen rahsia berkenaan daripada beberapa pihak dari dalam dan luar negara.

Katanya, JMM juga akan menyerahkan memorandum kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) esok bagi menyiasat beberapa pemimpin pembangkang termasuk Bersih yang diragui kekayaan mereka.

Sementara itu, anggota Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Ibdilillah (ulang: Ibdilillah) Ishak turut membuat laporan polis mengenai perkara yang sama.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.