Kiriman pada: Fri, Dec 18th, 2015

Cecair Vape Mengandungi Racun Di Rampas

Kongsi maklumat ini
Tags

imageJohor Bharu – Sebanyak 6,924 botol cecair berperisa untuk rokok elektronik atau vape dipercayai mengandungi nikotin dirampas dalam operasi bersepadu di tiga lokasi berasingan di sini, Selasa.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata turut dirampas dalam operasi yang bermula pada 4 petang itu adalah 190 unit aksesori vape bernilai RM380,385.

Katanya empat lelaki berusia antara 23 hingga 70 tahun ditahan dalam serbuan yang dilakukan di tiga premis iaitu dua di Taman Century dan satu di Larkin.

“Empat lelaki yang ditahan merupakan pemilik serta penjaga premis dan kesemuanya dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.

“Serbuan dijalankan selepas tiga premis terbabit didapati melanggar pelbagai kesalahan antaranya menjual cecair berperisa vape dipercayai mengandungi nikotin selain menjalankan perniagaan dan mempamer iklan tanpa lesen,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Selain itu, Wan Ahmad Najmuddin berkata kesalahan lain termasuk tidak meletakkan tanda harga dan kegagalan mendaftar alamat cawangan, tiada papan tanda perniagaan serta tidak pamer sijil pendaftaran.

Beliau berkata tindakan boleh diambil ke atas penjual vape mengikut peruntukan undang-undang sedia ada iaitu Akta Racun 1952, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan akta lain berkaitan.

Selain Polis Diraja Malaysia, operasi bersepadu itu turut melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Sementara itu, Wan Ahmad Najmuddin berkata arahan kepada semua anggota dan pegawai polis yang berkhidmat di negeri ini telah dikeluarkan sebagai peringatan untuk tidak menghisap vape di dalam kawasan pejabat masing-masing.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.