Kiriman pada: Tue, Feb 21st, 2017

Ceramah “Husam Lari Dari Debat Bai’ah” Kecoh

Kongsi maklumat ini
Tags

Kota Bahru – Ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS Kelantan bertajuk “Husam lari dari debat bai’ah” malam tadi bertukar menjadi kecoh apabila Datuk Husam Musa hadir di pentas itu bersama penyokongnya.

Ceramah yang bermula jam 9.30 malam itu diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, dihadiri kira-kira 500 penyokong PAS.

Husam dan penyokongnya tiba di ceramah berkenaan pada jam 11 malam ketika Yang Dipertua PAS Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh, sedang menyampaikan ucapan, sebelum duduk bersama pemimpin PAS di pentas utama.

Kekecohan bermula apabila seorang penyokong tidak dapat menahan kemarahan dan tampil ke hadapan pentas mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu berdebat di hadapan mereka.

Ketika itu, Ketua Penerangan PAS negeri, Datuk Nassuruddin Daud, sedang memberi ucapan berhubung tindakan Husam yang mengkhianati bai’ah apabila menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Tindakan lelaki itu menyebabkan beberapa penyokong lain mula mara ke pentas untuk bersemuka dengan bekas Naib Presiden PAS itu, namun dihalang anggota unit amal PAS dan berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua penyokong.

Akibat kekecohan itu, Husam dibawa keluar bagi meredakan kemarahan penyokong. Keadaan kembali tenang apabila Husam meninggalkan majlis berkenaan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.