Kiriman pada: Thu, Nov 26th, 2015

‘Charles Suresh, buat laporan polis dahulu dan biar siasatan dijalankan’

Kongsi maklumat ini
Tags

010695148KUALA LUMPUR: Adik mendiang Anthony Kevin Morais wajar membuat laporan polis supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh memulakan siasatan segera berhubung dakwaannya, tegas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

“Polis tidak boleh bertindak atas tuduhan. Buat laporan polis dahulu dan biar siasatan dijalankan,” kata Jazlan ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau turut menasihatkan Charles Suresh Morais untuk tidak melakukan tuduhan selagi siasatan belum dibuat.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan tuduhan Charles sebagai melampau.

“Apa yang dituduh Charles (Suresh) melibatkan perdana menteri iaitu ketua kerajaan negara.

“Saya berasa hairan, setiap kali ada acara besar yang melibatkan perdana menteri, mesti ada isu yang besar,” kata Rahman.

Menurutnya, tidak adil untuk buat tuduhan sedemikian memandangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengesahkan kertas pertuduhan adalah palsu.

Ditanya pendapat beliau mengenai situasi semasa tuduhan ini dibangkitkan, Rahman mengakui ia mencurigakan.

“Saya rasa ia mengambil peluang daripada situasi semasa,” kata Rahman, merujuk kepada persoalan tersebut.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata PDRM akan memanggil Charles Suresh berhubung satu laporan bahawa beliau mempunyai maklumat tertentu berkaitan kes pembunuhan mendiang abangnya.

Khalid berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah portal berita tempatan hari ini bahawa maklumat tertentu disimpan di dalam pemacu USB dan kini berada di Amerika Syarikat bersama seseorang yang diarah mendedahkan kandungannya kepada umum sekiranya sesuatu tidak diingini berlaku.
Mayat Anthony Kevin, 55, dijumpai di dalam sebuah tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 Sept setelah mendiang dilaporkan hilang pada 4 Sept lepas.

Mendiang kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini, untuk ke tempat kerja di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.