Kiriman pada: Sat, Jan 14th, 2017

China Setuju Pindah Teknologi Kawalan Sempadan

Kongsi maklumat ini
Tags

Kunming – China bersetuju memindahkan teknologi sistem kawalan sempadan kepada Malaysia bagi menangani masalah penyeludupan senjata api, bahan berbahaya serta kehadiran pengganas.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata teknologi itu termasuk penggunaan dron, satelit dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu kawalan sempadan Malaysia yang kini hanya bergantung kepada pagar serta anggota keselamatan.

Pegawai kedua-dua negara akan mengadakan perbincangan terperinci berhubung pemindahan teknologi itu, antaranya mungkin menggunakan konsep Bina, Sewa, Urus dan Pindah (BLMT), sekali gus boleh mengurangkan kos dengan pembayaran balik dalam tempoh lama.

Sehubungan itu, Malaysia akan menghantar 10 pegawai yang diketuai Ketua Pengarah, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain serta dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSM).

“Mereka akan mempelajari teknologi terkini serta prosedur operasi standard (SOP) di Wilayah Yunan yang bersempadan dengan Myanmar, Laos dan Vietnam sepanjang 4,060 kilometer.

“Kita cuma mempunyai 767 kilometer sempadan dengan Thailand dan bergantung kepada pagar untuk kawalan.

Oleh itu, apabila kita melaksakanakan teknologi baharu ini, kita akan gunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi mendapat input lebih berkesan, ” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Wilayah Yunan, Guo Bao di sini sebentar tadi. Beliau dalam rangka lawatan ke Wilayah Yunan tiga hari, bermula semalam.

Menjawab soalan wartawan Malaysia mengenai kerjasama Wilayah Yunan berhubung kawalan sempadan, Gou berkata wilayah berkenaan bersedia melatih pegawai dari Malaysia berdasarkan kepada perkara yang ingin dipelajari.

Katanya, pihaknya juga sedia memberi pendedahan latihan di sempadan dengan menghantar pegawai terbabit di pintu kawalan wilayah berkenaan dengan Myanmar, Laos dan Vietnam.

Selain itu, katanya, kerjasama itu penting kerana pihaknya juga dapat pengetahuan baharu daripada pegawai terbabit.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.