Kiriman pada: Fri, Jan 29th, 2016

CUACA PANAS AKIBAT EL NINO DIJANGKA HINGGA MAC INI

Kongsi maklumat ini
Tags

bnvchKuala Lumpur – Cuaca panas yang melanda negara sejak awal Januari ini dijangka berterusan sehingga Mac ini berikutan fenomena El Nino, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Datuk Che Gayah Ismail.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai diminta supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka dan banyakkan meminum air bagi mengelakkan hidrasi.

Fenomena El Nino itu juga telah menyebabkan negara tidak dilanda banjir besar semasa musim tengkujuh baru-baru ini seperti mana musim tengkujuh sebelum ini, katanya kepada Bernama di sini.

Pada kebiasaannya, keadaan cuaca pada bulan Disember adalah lebih lembap, namun aktiviti monsun yang membawa luruan udara sejuk dari benua China dan Siberia berkurangan menyebabkan kurangnya curahan hujan di negara ini, katanya.

“Keadaan itu mengakibatkan kebanyakan kawasan mengalami kekurangan hujan di antara 20 hingga 60 peratus dan cuaca menjadi panas dan kering dengan peningkatan paras suhu udara sebanyak 0.5 ke 2.0 darjah Celsius,” katanya.

Lazimnya, pada musim tengkujuh, kawasan pantai timur Semenanjung, Sarawak Barat dan pantai timur laut Sabah akan mengalami hujan lebat mulai November hingga Januari setiap tahun.

Menurut rekod jabatan itu bagi taburan hujan Disember tahun lepas, kawasan pedalaman Pahang, Negeri Sembilan, selatan dan barat Perak, utara Kedah dan Perlis telah merekodkan jumlah hujan kurang daripada 200 milimeter.

Kawasan pantai timur juga telah mencatatkan lebih daripada 20 peratus pengurangan jumlah hujan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.