Kiriman pada: Wed, Aug 19th, 2015

Daftarkan Semula Perkahwinan Di Malaysia

Kongsi maklumat ini
Tags

gjdjKUANTAN – Pasangan suami isteri yang melangsungkan perkahwinan mereka di luar negara dinasihatkan mendaftarkan semula perkahwinan mereka di Malaysia bagi memastikan ikatan pernikahan tersebut sah dari hukum syarak dan undang-undang.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Ghazali Abdul Aziz berkata, sepanjang tahun lalu terdapat 153 pasangan yang berkahwin di luar negara mendaftarkan semula pernikahan mereka di Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan.

Menurutnya, agak mendukacitakan apabila daripada jumlah yang didaftarkan itu, dua daripadanya didapati tidak sah.

“Kita dapati kedua-dua pasangan tersebut berkahwin lebih 20 tahun yang lalu dan status perkahwinan mereka hanya diketahui tidak sah apabila mereka ingin mendaftarkan perkahwinan anak mereka disebabkan wali hakim yang melangsungkan perkahwinan mereka sebelum ini adalah tidak berkelayakan.

“Kebanyakan pasangan memilih untuk bernikah di luar negara atas beberapa sebab termasuk tidak mendapat kebenaran wali atau mahkamah untuk berpoligami dan sengaja lari daripada undang-undang yang dianggap menyusahkan,” katanya.

Ghazali berkata, berdasarkan Seksyen 4 Enakmen Keluarga Islam 2005, umat Islam di negeri ini yang ingin berkahwin perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Agama Islam.

“Kegagalan mereka berbuat demikian adalah satu kesalahan yang boleh membawa kepada hukuman denda sehingga RM1,000.

“Jaip mensyaratkan bagi pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan, mereka perlu mengemukakan sijil nikah ibu bapa masing-masing bagi mengesahkan status kelahiran mereka,” katanya.

Beliau berkata, sejak peraturan itu dikuatkuasakan pada 2010, jumlah pasangan yang berkahwin di luar negara mendaftarkan semula pernikahan mereka semakin meningkat,” katanya.

Ghazali berkata, pasangan yang tidak mendaftarkan perkahwinan mereka akan berdepan pelbagai masalah antaranya kesukaran mendaftarkan persekolahan dan perkahwinan anak mereka kelak.

“Prosedur Jaip cukup mudah iaitu sekiranya wali tidak membenarkan anak mereka berkahwin, pasangan tersebut boleh memohon kepada mahkamah untuk berpindah kepada wali hakim.

“Kami sedia membantu pasangan bermasalah sekiranya ingin melangsungkan perkahwinan,”katanya.

Beliau berkata, pasangan yang bermasalah sepatutnya datang mengadu kepada Jaip untuk mendapatkan bantuan, bukannya lari bernikah di luar negara atau menggunakan khidmat nikah sindiket yang dikhuatiri pernikahan itu tidak sah selain menghabiskan wang.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.