Kiriman pada: Thu, Jul 2nd, 2015

Dasar Dan Pengurusan Ekonomi Baik Bantu Tingkat Kutipan Zakat

Kongsi maklumat ini
Tags

DATUK SERI NAJIB TUN RAZAKSerdang – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengenalan dasar kerajaan yang betul dan pengurusan ekonomi yang baik merupakan antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kutipan zakat setiap tahun.

Beliau berkata ia turut dibantu sistem pembayaran zakat tersusun yang dilaksanakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) seperti pemotongan gaji, pengecualian cukai selain peningkatan kesedaran dalam kalangan orang Islam.

Ini terbukti melalui peningkatan kutipan zakat MAIWP daripada RM100 juta pada 2000 kepada RM532 juta pada tahun lepas dan RM585 juta pada tahun ini.

“Kalau dasar kerajaan tidak membawa kepada kejayaan yang positif dan kesan baik, tak mungkin ekonomi umat Islam bertambah lebih positif,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri, anjuran MAIWP yang dihadiri kira-kira 12,000 asnaf di Wilayah Persekutuan.

Sehubungan itu, Najib turut mengingatkan seluruh masyarakat sentiasa bersyukur dengan kemajuan yang dikecapi dan tidak memburukkan Malaysia.

Memberikan contoh kesanggupan rakyat negara asing yang bersusah payah memasuki Malaysia, beliau berkata, keadaan itu menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan baik.

“Walaupun ekonomi negara telah bertambah baik tetapi kita juga berdepan dengan cabaran namun jangan sampai perlekeh negara sendiri.

“Orang Rohingya bertarung nyawa untuk masuk ke Malaysia dengan menaiki bot apabila tiba di negara ini sanggup sujud dan cium tanah Malaysia yang disifatkan cukup bertuah,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.