Kiriman pada: Tue, Jan 24th, 2017

Dasar Hubungan Antarabangsa Dipantau

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Kerajaan memantau dasar hubungan antarabangsa dengan Amerika Syarikat (AS) dan mengambil langkah proaktif dalam menyesuaikan negara ini berdasarkan perubahan yang berlaku, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, ia termasuk meningkatkan usaha mengukuhkan hubungan dua hala, langkah itu diambil jika berlaku perubahan kuasa di tampuk pemerintahan mana-mana negara.

Datuk Seri Najib menyedari antara perkara yang banyak diperkatakan pelbagai banyak pihak kebelakangan ini terutama dalam sektor pelaburan, perniagaan dan perdagangan adalah penarikan diri AS daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

“TPP adalah perjanjian perdagangan yang diyakini akan memberi manfaat kepada bukan saja kepada ekonomi Malaysia tetapi juga semua negara terbabit dan rakyatnya.

“Justeru, Malaysia bersama 10 negara anggota TPP lain akan bermesyuarat untuk membincangkan hala tuju dan langkah selanjutnya selepas penarikan AS.

“Walau apa pun kesudahan mesyuarat itu, ingin saya tegaskan kita tidak perlu khuatir mengenai keadaan ekonomi Malaysia jika TPP tidak menjadi kenyataan.

“Tanpa TPP, ekonomi kita mampu kekal teguh, dinamik dan penuh dengan potensi serta peluang bersama rakan dagang sedia ada.

“Setakat ini, Malaysia mempunyai hubungan dua hala yang kukuh bersama negara seperti China dan Jepun, malah kita menjangkakan nilai dagangan tahun ini antara Malaysia dan China akan mencecah US$100 bilion (RM443.50 bilion).

“Kita juga adalah ahli kepada Perjanjian Perdagangan Bebas Serantau ASEAN dan mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala bersama negara seperti India, New Zealand dan Australia.

“Pada masa sama, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang mengkaji usaha mewujudkan FTA bersama beberapa ahli TPP,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan terus berusaha memuktamadkan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) membabitkan China dan India dengan pasaran pengguna yang jauh lebih besar berbanding TPP.

“Insya-Allah, saya yakin melalui langkah ini dan usaha lain yang dijalankan, ekonomi kita terutamanya yang berkaitan perdagangan dan pelaburan asing akan terus mampan dan berdaya saing”.

“Malaysia kekal terbuka untuk perniagaan,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.