Kiriman pada: Thu, Dec 17th, 2015

Dasar Pemisah wujud persekitaran produktif

Kongsi maklumat ini
Tags

PTJ23_161215_INOVASIKUALA LUMPUR: Pelaksanaan Dasar Pemisah pada tahun depan kepada penjawat awam yang memperoleh penilaian prestasi kerja tahunan kurang daripada 60 peratus bertujuan mewujudkan persekitaran perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi, produktif dan berintegriti. Justeru, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah melaksanakan kaedah libat urus dengan pelbagai pihak khususnya Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Majlis Bersama Kebangsaan dan Pengurusan Sumber Manusia, bagi memastikan dasar itu diterima oleh penjawat awam. “Ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya perkhidmatan awam menekankan kepada produktiviti dan inovasi bagi mewujudkan sebuah negara berpendapatan tinggi. “Pengukuhan budaya kerja berprestasi tinggi dalam persekitaran perkhidmatan awam yang kompetitif adalah perkara sentiasa diberikan penekanan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa,” katanya dalam Program Dialog RTM1 bertajuk ‘Transformasi Perkhidmatan Awam Bersama KPPA’ yang disiarkan secara langsung malam ini. Mengulas lanjut, Mohamad Zabidi berkata dasar itu membolehkan perkhidmatan penjawat awam yang mendapat prestasi kurang daripada 60 peratus ditamatkan dan dibersarakan dalam perkhidmatan awam. Beliau, bagaimanapun berkata JPA tidak akan menamatkan perkhidmatan penjawat awam terbabit dengan sewenang-wenangnya kerana ia membabitkan beberapa peringkat tapisan untuk memastikan keputusan yang telus dan adil kepada penjawat awam itu. Beliau berkata, antaranya siasatan oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia, tempoh pemerhatian selama satu tahun serta penilaian khas oleh Panel Penilaian Prestasi Khas terhadap penjawat awam terbabit. “Ini bukan membabitkan tatatertib seperti tidak datang kerja… umpamanya yang tidak datang kerja dalam tempoh seminggu, dua minggu dan tiga minggu kita boleh buang dia. “Ini atas penilaian prestasi, bila kita sudah berpuas hati dan keputusan diambil secara adil, baru kita menamatkan perkhidmatan dia di bawah Peraturan 49 dan dibersarakan dia di bawah Akta Pencen, ini semua kita perhatikan,” katanya. Mohamad Zabidi berkata, penjawat awam berkenaan akan mendapat wang pencen penuh iaitu berbeza dengan penjawat awam yang ditamatkan perkhidmatan kerana tindakan tatatertib. Tahun lalu, seramai 2,943 penjawat awam berada dalam kategori prestasi kerja tahunan bawah 60 peratus. Sehubungan itu, beliau menasihati semua penjawat awam supaya menunjukkan prestasi kerja yang tinggi, sekali gus membantu kerajaan mencapai negara berpendapatan tinggi pada 2020. Dalam perkembangan lain, Mohamad Zabidi berkata pada masa ini jumlah pesara penjawat awam melebihi 739,000 orang termasuk 109,000 pesara tentera. Katanya, hasil kajian awal daripada JPA mendapati pesara itu memilih empat perkara yang perlu diberi keutamaan iaitu bekerja semula, kesihatan, keusahawanan dan pengurusan kewangan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.