Kiriman pada: Thu, Feb 9th, 2017

DBKL Benar Himpunan RUU 355

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – PAS akur dengan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan Himpunan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) di Dataran Merdeka, sebaliknya meluluskan perhimpunan di Padang Merbok pada 18 Februari ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga Pengerusi Sekretariat himpunan itu berkata pihaknya mengemukakan permohonan untuk mendapatkan Dataran Merdeka sebagai lokasi perhimpunan, tetapi ditolak oleh DBKL serta rayuan mereka juga tidak dilayan.

“Namun hari ini, DBKL membenarkan perhimpunan di Padang Merbok, Kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana akhirnya pihak DBKL membenarkan Himpunan 355 diadakan di bandar raya ini.

“Padang Merbok juga terletak tidak jauh dari Dataran Merdeka, malah keluasan antara keduanya juga tidak jauh berbeza yang dengan sendirinya membolehkan ribuan masyarakat Islam berhimpun menyokong pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965,” katanya dalam satu kenyataan media.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, berkata DBKL tiada masalah membenarkan himpunan itu diadakan di Padang Merbok sebagai tempat berhimpun dengan mematuhi syarat yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim meminta seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama hadir perhimpunan berkenaan berpakaian ungu.

“Dengan semangat kesatuan dan kemuliaan ummah dan pastinya ia bakal menjadi himpunan bersejarah umat Islam serta seluruh rakyat tanpa mengira agama dan bangsa yang menghormati hak umat Islam untuk beramal dengan syariah Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.