Kiriman pada: Mon, Feb 22nd, 2016

DCA Umumkan Bayu Air Masih Belum Ada Lesen

Kongsi maklumat ini
Tags

bayu-air-ceoSyarikat baru Bayu Air yang mendakwa akan beroperasi Ogos ini, dengan membawa mereka yang ingin mengerjakan umrah, tidak mempunyai sebarang lesen, kata Jabatan Penerbangan Awam (DCA) hari ini.

Ketua pengarahnnya Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata tiada sebarang permohonan sama ada permit atau lesen untuk beroperasi diterima daripada penerbangan itu, milik Bayu Mutiara Skyways Sdn Bhd.

“Kementerian Pengangkutan (MOT) dan DCA ingin menjelaskan bahawa setakat ini, tiada sebarang permohonan sama ada bagi permit mahupun lesen untuk beroperasi diterima daripada syarikat penerbangan itu,” katanya melalui satu kenyataan.

“Seperti yang terkandung dalam Peraturan 10 dan 17 di bawah Peraturan Penerbangan Awam, syarikat penerbangan baharu yang ingin menjalankan penerbangan berjadual atau tidak berjadual perlu mengemukakan permohonan untuk permit dan lesen terlebih dahulu kepada kedua-dua MOT serta DCA sebelum membuat apa-apa pengumuman mengenai operasi mereka.”

Tambahnya, DCA juga dimaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak pernah mengeluarkan sebarang sokongan rasmi terhadap syarikat tersebut.

Bayu Air dilaporkan ingin memulakan operasi pada Ogos ini dengan perancangan fasa pertama ke Jeddah dan Madinah bagi destinasi umrah dan laluan pelancongan ke China.

Syarikat itu merancang menggunakan tiga pesawat Boeing 777-200 dan menyediakan hidangan masakan kampung selain menawarkan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

“Ini akan memberikan pengalaman baru dan keselesaan kepada para penumpang dan kami amat komited dalam menjadikan perkhidmatan kami yang terbaik,” kata ketua pegawai eksekutifnya Mohd Saifulrizal Raffien di majlis prapelancaran di sini awal minggu ini.

Mohd Saifulrizal juga dilaporkan berkata pihaknya akan membuka peluang pekerjaan bekas kakitangan-kakitangan Malaysian Airlines (MAS).

“Kita akan adakan program untuk membawa seramai 40 orang fakir miskin dan tidak berkemampuan pada setiap bulan untuk mengerjakan umrah yang ditaja sepenuhnya Bayu Air dengan kos RM15,000 setiap orang,” katanya.

Bayu Air dimiliki syarikat bumiputera yang ditubuhkan pada 2014 dan berpusat di Cyberjaya dengan 300 kakitangan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.