Kiriman pada: Tue, Nov 3rd, 2015

Dialog Berterusan Demi Capai Keamanan Serantau

Kongsi maklumat ini
Tags

hdfkKUALA LUMPUR – Malaysia menggesa menteri pertahanan rantau ini untuk terus berdialog bagi mencapai matlamat bersama iaitu kestabilan dan keamanan serantau.

Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, adalah menjadi tanggungjawab bersama mereka untuk berganding bahu mengelakkan sebarang insiden tidak diingini daripada berlaku di Asia Tenggara.

“Sebagai menteri pertahanan, tanggungjawab terletak di atas bahu kita untuk memastikan kestabilan negara kita, rakyat kita dan yang lebih penting adalah rantau ini secara keseluruhan,” katanya dalam ucapan pembukaan Pemukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) dan ADMM-Campur Ketiga yang bermula hari ini di Subang dekat sini hari ini.

Beliau mengakui ini bukanlah satu tugas mudah, terutamanya dengan keadaan keselamatan dan landskap politik hari ini yang saling berhubungan, kompleks dan
mencabar.

Hishammuddin juga mengucapkan penghargaan kepada rakan sejawatnya kerana dengan tegas mengecam keganasan dan pertubuhan ekstremis serta kegiatan mereka
semasa ADMM kesembilan di Langkawi, Mac tahun ini.

Hishammuddin berkata, pendirian bersama mereka selain daripada kecaman hebat ke atas kumpulan militan IS dan organisasi yang sama menunjukkan masalah ini adalah serius dan perlukan tindakan segera.

“Ia memberikan isyarat yang jelas bahawa kita mengambil serius isu keganasan ini dan melakukan apa yang perlu untuk mengatasi ancaman ini bersama, sebagai satu barisan yang teguh,” katanya.

ADMM ialah mekanisme tertinggi perbincangan dan kerjasama pertahanan dalam Asean mengenai perkara-perkara berkaitan pertahanan.

Ia bertujuan memupuk kepercayaan bersama dan keyakinan melalui peningkatan pemahaman mengenai cabaran pertahanan dan keselamatan serta meningkatkan ketelusan dan keterbukaan.

Asean dianggotai 10 negara iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala lapan rakan dialog dalam Asean Campur ialah Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.