Kiriman pada: Wed, Jan 11th, 2017

Didakwa Tipu Pelaburan Tanah Suci

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu berhubung pelaburan pajakan bilik hotel di Makkah membabitkan kerugian lebih RM320,000 antara November 2015 dan Jun tahun lalu.

Sheikh Saidey Nor Sheikh Abdul Rahman, 43, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Sheikh Saidey didakwa menipu dengan memperdaya seorang pengarah syarikat, Mohd Ismail Norbat, melalui penama Nor Hazeerena Hamdan dengan menawarkan pajakan bilik hotel di Makkah yang tidak wujud.

Perbuatan itu mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM324,300 ke dalam akaun Nor Hazeerena sebelum dipindahkan ke lapan akaun yang diuruskan tertuduh. Sheikh Saidey Nor dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Desa Pandan di sini, antara 27 November 2015 hingga 30 Jun tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.