Kiriman pada: Wed, Mar 18th, 2015

Dikhianati PAS, DAP Timbang Semula Kerjasama Dengan Pakatan

Kongsi maklumat ini
Tags

581Kuala Lumpur – DAP sekali lagi menampilkan sikap tidak sebulunya dengan sekutu dalam Pakatan Rakyat (Pakatan), PAS, apabila mengemukakan bantahan keras terhadap tindakan parti Islam itu yang membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II (1993) 2015 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke menegaskan tindakan tersebut sebagai melanggari keputusan yang telah ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Menyifatkan ia sebagai pengkhianatan, tindakan itu juga katanya adalah merupakan satu tindakan provokasi bagi memecahkan kerjasama yang terjalin di kalangan parti-parti komponen Pakatan.

“DAP menegaskan bahawa kami membantah sekeras-kerasnya tindakan PAS Kelantan yang mengingkari keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 Mac 2015 dan merupakan satu tindakan provokasi untuk memecahkan Pakatan.

“Tindakan Kerajaan PAS Kelantan membentangkan Enakmen Jenayah Syariah II (1993) 2015 di DUN Kelantan pada hari ini adalah satu keputusan yang melanggari Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan mengkhianati konsensus Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, DAP sentiasa konsisten dengan pendiriannya menentang pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah ataupun Hudud.

DAP katanya sejak hari pertama menyertai Pakatan sentiasa menegaskan bahawa pelaksanaan hudud tidak akan menjadi agenda bersama dalam kerjasama yang dijalinkan kedua-dua parti tersebut termasuklah Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“DAP konsisten dengan pendirian kami bahawa pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah atau Hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia.

“Sejak hari pertama DAP bekerjasama dengan PAS dan PKR dalam kerangka Pakatan selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke-12 pada tahun 2008, DAP sentiasa menegaskan bahawa pelaksanaan hudud bukan dan tidak akan menjadi agenda bersama dalam Pakatan,” tegasnya.

Tambah ahli Parlimen Seremban itu lagi, DAP sentiasa komited menjayakan misi Pakatan untuk menggantikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya korup.

Namun tegasnya, usaha tersebut akan menjadi sia-sia selagi wujudnya pihak-pihak tertentu dalam PAS yang disifatkan beliau sebagai ‘musuh dalam selimut’ yang cenderung membelakangkan konsensus bersama di peringkat Pakatan.

“DAP komited untuk menjayakan misi Pakatan sebagai kerajaan alternatif untuk menggantikan BN yang korup dan boros. Namun, kami sedar ada pihak-pihak tertentu dalam PAS yang lebih cenderung memberikan ‘pelampung’ kepada Umno untuk menyelamatkan diri daripada pelbagai skandal rasuah yang didedahkan kebelakangan ini.

“Pakatan tidak akan berjaya menumbangkan BN selagi ada ‘musuh dalam selimut’ yang sentiasa membelakangkan konsensus bersama dan bertindak mengikut rentak yang dimainkan oleh Umno,” katanya.

Susulan itu, Loke memberitahu bahawa satu mesyuarat di kalangan pimpinan tertinggi DAP akan diadakan Isnin ini bagi membincangkan masa depan parti itu bersama Pakatan.

“Pimpinan tertinggi DAP akan mengadakan mesyuarat CEC pada hari Isnin, 23 Mac 2015 di Kuala Lumpur untuk membincang dan memutuskan halatuju DAP bersama Pakatan selepas ‘ditikam dari belakang’ oleh PAS Kelantan pada hari ini,” tegas beliau.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.