Kiriman pada: Mon, Dec 19th, 2016

DSP Dituduh Ubah Wang Haram Lebih RM2 Juta

Kongsi maklumat ini
Tags

Johor Bahru – Seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah hampir RM2.08 juta, dua dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Ismail Syed Merah, 53, yang bertugas di Jabatan Logistik Bukit Aman bagaimanapun tidak mengaku salah bagi semua pertuduhan selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menggunakan wang hasil aktiviti haram melalui pembelian pelan dan pelaburan perlindungan insurans yang didaftarkan atas nama tertuduh dan nama anak kandungnya, yang diuruskan ejen insurans MAA Takaful Bhd.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di MAA Takaful Bhd di No 58 dan 60, Susur 1, Jalan Tun Razak, di sini, di antara 4 September 2014 hingga 26 Februari 2015. Masing-masing membabitkan wang berjumlah RM10,143.37, RM40,000, RM6,283.09, RM993,716.91 dan RM500,000.

Bagi pertuduhan keenam, tertuduh dilakukan melakukan kesalahan sama, membabitkan wang berjumlah RM499,620 di RHB Bank Bhd Cawangan Batu Pahat di No 89, Jalan Rahmat, Batu Pahat dengan menggunakan akaun bank pihak ketiga iaitu akaun RHB Bank Bhd milik Tan Kim Tee pada 8 Oktober 2015.

Bagi pertuduhan ketujuh, tertuduh turut didakwa atas kesalahan sama di CIMB Bank Bhd Cawangan Batu Pahat di 39A, Jalan Rahmat, Batu Pahat, membabitkan wang berjumlah RM29,950 dengan menggunakan akaun pihak ketiga iaitu akaun CIMB Bank Bhd milik Kim Tee pada 28 Disember 2015.

Bagi semua kesalahan itu, Mohd Ismail dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim.

Mohd Fauzi kemudian menetapkan jaminan RM100,000 bagi tujuh pertuduhan dan nama tertuduh disenaraihitamkan untuk keluar negara, selain menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 23 Januari depan.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.