Kiriman pada: Thu, Aug 27th, 2015

Dua Beradik Lemas Ketika Memancing Di Lombong Tinggal

Kongsi maklumat ini
Tags

JABATAN BOMBA DAN PENYELAMATIpoh – Keghairahan dua beradik memancing di sebuah lombong tinggal di Taman Rasi, Menglembu di sini semalam berakhir dengan tragedi apabila seorang daripadanya ditemui lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas mereka terjatuh ke dalam lombong berkenaan.

Penolong Kanan Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Ismail Darus berkata mayat Lee Poh Wei, 16, ditemui pada 5.56 petang manakala adiknya, Lee Poh Jun, 14, belum ditemui.

Kejadian berlaku kira-kira 2 petang apabila dua beradik itu, yang tinggal di Bukit Merah, Lahat dikatakan ke lombong berkenaan untuk memancing ikan bersama seorang lagi rakan mereka, kata Ismail kepada pemberita.

Beliau berkata insiden itu berlaku apabila Poh Jun dikatakan cuba menarik kail pancingnya yang tersangkut sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam lombong berkenaan serta dipercayai lemas.

Poh Wei yang melihat kejadian itu kemudian terjun untuk menyelamatkan adiknya tetapi dia turut lemas, kata Ismail.

Rakan mereka yang cuba membantu tetapi gagal kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Sejumlah 39 orang membabitkan anggota polis, bomba serta Rakan Cop melancarkan operasi mencari, dan mayat Poh Wei ditemui di dasar lombong.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menyifatkannya sebagai kematian mengejut.

Beliau berkata mayat Poh Wei dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.