Kiriman pada: Mon, Feb 15th, 2016

Dua Cedera Kena Cuka Getah

Kongsi maklumat ini
Tags

gjetkKAMPUNG RAJA – Dua sahabat terpaksa menanggung kesakitan di beberapa bahagian badan termasuk muka apabila terkena cuka getah yang dibaling seorang lelaki dalam kejadian di sebuah Rumah Awam Kos Rendah Kampung Raja, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, mangsa berusia 25 tahun yang bertugas dengan sebuah badan bukan berkanun di Sepang, berada di rumah rakannya yang berusia 20-an.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang berbual dengan rakannya di rumah tersebut, sebelum didatangi seorang lelaki dikenali yang menaiki sebuah Perodua Kancil berwarna putih.

Menurutnya, sebaik menghampiri rumah tersebut, mangsa melihat suspek membaling sebiji botol berisi cecair ke arah cermin tingkap rumah.

“Mangsa dan rakannya yang berada berhampiran tingkap nako itu, terkena percikan cecair dari botol tersebut yang dipercayai cuka getah,” katanya.

Menurut Khaled, suspek terus melarikan diri sebaik sahaja membaling botol tersebut.

Katanya, akibat kejadian itu, mangsa melecur pada badan, kaki, leher dan muka, sementara rakannya pula cedera pada badan serta siku kanan dan kiri.

“Kedua-dua mangsa pergi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Besut, bagaimanapun mangsa hanya dirawat sebagai pesakit luar, manakala rakannya ditahan di wad sebelum laporan dibuat di Balai Polis Kampung Raja,” katanya.

Katanya lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian, termasuk menjalankan gerakan mengesan suspek.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.