Kiriman pada: Thu, Mar 19th, 2015

Dua Pindaan Akta Komunikasi Akan Dibentang Oktober Ini

Kongsi maklumat ini
Tags

IMG_9589.storyimageKuala Lumpur – Pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dibentang di Dewan Rakyat seawal Oktober ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pindaan akta itu merupakan satu daripada langkah strategik yang komprehensif bagi menangani jenayah siber secara holistik dan mapan.

Katanya langkah pencegahan, penguatkuasaan, penambahbaikan serta pengemaskinian peraturan dan undang-undang sedia ada diharap mampu membendung perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Pindaan akta itu dibuat dengan mengambil kira beberapa peruntukan penting mengenai pentadbiran dan penguatkuasaan.

“Kementerian juga mengadakan beberapa siri libat urus bersama pihak-pihak berkepentingan,” katanya semasa menjawab pertanyaan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dalam sesi soal jawab.

Bung Moktar bertanyakan mengenai rancangan kerajaan dalam mengawal penggunaan media sosial agar dapat membendung salah laku serta sejauh mana kesungguhan menghukum pesalah laku media sosial di negara ini.

Mengenai tahap kesungguhan kerajaan menangani perkara itu, Datuk Seri Ahmad Shabery berkata kementerian bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Strategi Lautan Biru.

“Kementerian dan SKMM bersedia memberikan sebarang bantuan teknikal kepada agensi-agensi terlibat khususnya PDRM sekiranya diperlukan,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini terdapat 11 kes penyalahgunaan media sosial telah dan sedang disiasat dengan beberapa individu telah dikenakan hukuman.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.