Kiriman pada: Tue, Feb 21st, 2017

DUN Selangor Tidak Kebal Undang-Undang

Kongsi maklumat ini
Tags

Shah Alam – Peguam, Kamarudin Ahmad menyangkal kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, bahawa perkara membabitkan prosiding DUN tidak boleh dicabar di mahkamah.

Justeru, beliau yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, berkata pihaknya akan memfailkan saman pemula dalam masa terdekat berhubung tindakan Speaker, Hannah Yeoh, yang melangkaui bidang kuasa ditetapkan apabila menghadapkan anak guamnya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.

“Kenyataan Speaker DUN bahawa DUN ada imuniti daripada prosiding undang-undang dan mahkamah adalah tidak betul. Malah, terdapat beberapa contoh kes yang memutuskan tindakan DUN adalah tidak sah. DUN ada imuniti, namun ia tertakluk kepada Perlembaaan Persekutuan.

“Antaranya keputusan kes pada 2016, mahkamah memutuskan DUN Selangor melebihi bidang kuasanya apabila ia mengeluarkan saman terhadap peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun untuk menjawab tuduhan menghina DUN.

“Begitu juga dengan kes membabitkan DUN Perak pada 2009, apabila mahkamah memutuskan Speaker, V Sivakumar tidak mempunyai kuasa untuk menggantung Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam ADUN yang lain daripada menghadiri sidang DUN ,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kamarudin berkata, anak guamnya itu tidak mengeluarkan sangkaan jahat kepada mana-mana ADUN, sebaliknya hanya meminta penjelasan mengenai dasar perjuangan DAP di negara ini.

Pada 6 Februari lalu, Mat Nadzari dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor berhubung satu kenyataan yang dikeluarkannya ketika sidang DUN, pada 1 November tahun lalu.

Ahmad Nadzari membangkitkan persoalan mengenai matlamat DAP untuk tubuhkan sistem demokrasi sosial berperlembagaan di negara ini serta meminta Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyatakan pendirian, sama ada beliau menyokong dasar perjuangan DAP itu atau sebaliknya.

Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor akan mengadakan mesyuarat pagi esok bagi membuat keputusan berhubung hasil pendengaran itu.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.