Kiriman pada: Sat, Aug 22nd, 2015

E-Dagang Platform Terbaik Wanita Membina Kerjaya

Kongsi maklumat ini
Tags

DATIN SERI ROSMAH MANSORKuala Lumpur – Industri e-dagang atau perniagaan menerusi Internet merupakan platform terbaik bagi golongan wanita di negara ini untuk menunjukkan kemampuan dalam membina kerjaya, kata isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Katanya kesungguhan dan minat mendalam dalam bidang keusahawanan menerusi platform itu mampu menjadi pemangkin untuk wanita berjaya, bukan sahaja di negara ini, malah mampu menembusi peringkat global.

“Sekiranya wanita ingin menjadi insan berjaya, mereka haruslah menyemai ciri-ciri daya saing, daya maju, optimis dan sentiasa kreatif.

“Sikap berani dan tidak takut untuk menghadapi risiko kegagalan itu adalah permulaan kepada sesebuah kejayaan,” katanya semasa berucap melancarkan Konvensyen Ekonomi Wanita Cina Malaysia .

Beliau berkata dagangan yang beroperasi melalui Internet bukan sahaja cekap dan berkesan, bahkan mengurangkan kos operasi, menjimatkan masa urus niaga dan meluaskan jalinan strategik antara peniaga.

Rosmah berkata syarikat antarabangsa seperti Alibaba, Amazon, eBay dan Walmart merupakan antara yang menerajui perniagaan menerusi Internet dan telah mengoptimumkan peluang menjana pendapatan menerusi platform itu.

Katanya senario sama turut wujud di negara ini dengan e-dagang berjaya menguasai pasaran domestik dengan trend terkini menunjukkan pengguna di negara ini gemar menggunakan Internet untuk melakukan pembelian.

Konvensyen sehari anjuran Wanita MCA bersama Yayasan Pembangunan Wanita dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bertema ‘e-trade-Global Fortune’ itu bertujuan memperkasa wanita dalam bidang keusahawanan menerusi penggunaan Internet dan teknologi komunikasi dan maklumat.

Mengenai pengirim

Dipamirkan 1 komen
Sila nyatakan komen anda

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.