Kiriman pada: Thu, Nov 26th, 2015

ECER Tarik Pelaburan Swasta RM84 Bilion

Kongsi maklumat ini
Tags

ncghSEJUMLAH RM84 bilion pelaburan swasta berjaya ditarik ke Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) setakat ini.

Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) dalam satu kenyataan berkata, pelaburan swasta itu adalah 14 kali ganda daripada pelaburan kerajaan dan dijangka mewujudkan 92,313 peluang pekerjaan.

Pelaburan swasta tersebut, katanya, merupakan 76 peratus daripada sasaran RM110 bilion pelaburan ECER menjelang 2020.

“Dari segi sektor, kluster pembuatan merupakan penyumbang terbesar dengan nilai pelaburan RM46.3 bilion, diikuti sektor pelancongan (RM14.1 bilion), bio-ekonomi (RM7.4 bilion) dan minyak, gas serta petro-kimia (RM5.2 bilion,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan hari ini.

Kenyataan itu menyebut, dalam usaha memacu transformasi di ECER, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM6 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan RMK10 bagi melaksanakan projek berimpak tinggi.

Kesemua 67 projek dan program di bawah RMK9 telah pun siap dilaksanakan, manakala 26 projek dan program di bawah RMK10 telah siap sementara 20 lagi sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

ECERDC hari ini mengadakan mesyuaratnya di Menara Parlimen di sini yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi majlis tersebut.

Mesyuarat itu yang bertujuan membincangkan kemajuan ECER turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif majlis itu, Datuk Seri Jebasingam Issac John, serta anggota majlis yang lain.

Dalam kenyataan sama, Jebasingam berkata, walaupun terdapat pelbagai cabaran untuk menarik pelaburan ke ECER pada permulaan tahun ini, ECERDC terus menggiatkan usaha dengan kerjasama agensi kerajaan yang berkaitan.

“Terdapat peningkatan ketara pada suku ketiga dan keempat tahun ini dan ECER telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM12.5 bilion untuk tahun ini sahaja melangkaui sasaran RM12 bilion,” katanya.

Taman perindustrian di ECER seperti Taman Industri Kuantan Malaysia-China, Taman Automatif Pekan, Taman Biopolimer Kertih, Taman Bio Bersepadu Kuantan, Taman Halal Gambang dan Taman Halal Pasir Mas terus menarik minat pelabur kerana kelebihan dan daya saing masing-masing.

Taman perindustrian ini berjaya memperolehi nilai pelaburan terkumpul RM19.54 bilion yang akan mewujudkan 22,377 peluang pekerjaan baharu, kata ECERDC.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.