Kiriman pada: Tue, Feb 14th, 2017

ECRL Bakal Ubah Landskap Bentong

Kongsi maklumat ini
Tags

Kuala Lumpur – Datuk Seri Najib Razak percaya pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bakal mengubah landskap Bentong, dengan ekonomi kawasan itu akan menjadi lebih terbuka melalui akses yang diwujudkan.

Perdana Menteri berkata, potensi Bentong dapat direalisasikan dengan pembangunan pesat akan dapat dibawa ke kawasan itu melalui pembinaan projek ECRL, yang menghubungkan Tumpat dan Kuantan dengan Kuala Lumpur, serta projek Central Spine Road (CSR) Bentong Bypass.

“Bayangkan perjalanan antara Bentong dan Gombak hanya akan mengambil masa 25 minit dengan menaiki ECRL berbanding 90 minit dengan menaiki kereta melalui Lebuhraya Karak.

“Ini membolehkan Bentong menjadi bandar satelit kepada Greater Kuala Lumpur,” katanya dalam catatan terbaru di laman blognya, www.najibrazak.com, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian susulan lawatannya ke Bentong sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2017 di Dataran Bentong, yang dihadiri kira-kira 20,000 penduduk daripada pelbagai kaum, Ahad lalu.

Beliau berkata selain Seremban, Bentong juga bakal menjadi destinasi menarik sebagai salah satu kawasan untuk didiami oleh mereka yang bekerja di Kuala Lumpur.

Lebih daripada itu, industri seperti ekopelancongan bakal diberi nafas baharu dengan wujudnya sistem perhubungan yang holistik, katanya.

“Dari segi rancangan pembangunan, saya lihat Bentong sebagai sebuah bandar berpotensi tinggi disebabkan beberapa faktor utama, antaranya kekayaan bandar ini dengan sumber alam semula jadi yang menjadi tarikan pelancong, selain lokasinya yang strategik.

“Peluang-peluang sebegini sudah semestinya akan meningkatkan taraf hidup masyarakat Bentong kelak yang sebelum ini banyak terlibat dalam kegiatan ekonomi tradisional seperti perladangan dan pertanian,” katanya.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.