Kiriman pada: Mon, Aug 24th, 2015

Empat perkara anda perlu tahu tentang Bersih 4.0 yang bakal menyusahkan anda

Kongsi maklumat ini
Tags

71440406373_freesize1. APA ITU BERSIH DAN APAKAH TUNTUTANNYA?

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil atau Bersih 2.0 ialah gabungan NGO dan kumpulan masyarakat sivil yang menuntut diadakan pembaharuan dalam pilihan raya di Malaysia.

Ia asalnya dianggotai wakil daripada Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Pembangunan Wanita Kolektif (WDC) dan Penulis Media Bebas (WAMI), dan diketuai bekas Presiden Majlis Peguam Datuk S. Ambiga.

Bersih 2.0 yang merupakan penganjur beberapa siri perhimpunan Bersih kini dipimpin oleh Maria Chin Abdullah dari WDC.

Bersih 4.0 ialah perhimpunan keempat dianjurkan Bersih 2.0 dalam tempoh lapan tahun.

Perhimpunan pertama diadakan pada 10 Nov 2007; perhimpunan kedua yang dikenali sebagai “Walk for Democracy” pula pada 9 Julai 2011, dan yang ketiga adalah perhimpunan “Sit In” yang diadakan pada 28 April 2012.

Lima tuntutan Bersih 4.0:
* Pilihan raya bebas dan adil
* Sebuah kerajaan yang telus
* Hak untuk berdemonstrasi
* Mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen
* Menyelamatkan ekonomi negara

2. BILA DAN DI MANA BERSIH 4.0 DIADAKAN?

Bersih 4.0 dijadual berlangsung dari pukul 2 petang, Sabtu 29 Ogos hingga tengah malam Ahad (30 Ogos) ini.

Ia akan diadakan serentak di Kuala Lumpur, Kuching di Sarawak dan Kota Kinabalu di Sabah.

Di Kuala Lumpur, lima lokasi telah ditetapkan sebagai lokasi berhimpun sebelum berarak ke Dataran Merdeka. Lokasi itu ialah Sogo KL, Pasar Seni, Dataran Maybank, Brickfields dan Masjid Negara.
Tidak seperti di KL, tiada perarakan akan dibuat di Kuching dan Kota Kinabalu. Para peserta hanya akan berhimpun dan meneruskan aktiviti mereka di lokasi masing-masing.

Di Kuching, perhimpunan akan diadakan di Padang Merdeka, manakala di Kota Kinabalu di Tanjung Lipat.

3. APA KATA PIHAK BERKUASA

Kuala Lumpur: Polis telah mengkategorikan Bersih 4.0 sebagai perhimpunan haram susulan kegagalan pihak penganjur memperoleh kebenaran daripada pemilik premis untuk tujuan menggunakan lokasi berkenaan.

Menurut polis, mereka yang menyertai perhimpunan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Polis mencadangkan kepada penganjur untuk mengadakan perhimpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana tempat itu dikatakan lebih sesuai.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menolak permohonan penganjur untuk menggunakan Dataran Merdeka dan Padang Merbok kerana lokasi itu sedang digunakan bagi persiapan sambutan Hari Merdeka.

DBKL telah mencadangkan agar perhimpunan Bersih 4.0 diadakan pada hujung minggu selepas Hari Merdeka.

Kuching: Orang ramai telah dinasihatkan supaya tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut di Padang Merdeka.

Ini kerana kerajaan negeri dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah membatalkan kebenaran menggunakan tempat itu atas alasan terdapat kerja pengubahsuaian sedang dijalankan.

Bagaimanapun, Polis Negeri Sarawak berkata perhimpunan itu hanya boleh diadakan sekiranya penganjur mendapat kebenaran daripada pemilik lokasi dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Kota Kinabalu: Polis berkata perhimpunan itu tidak boleh diadakan di Tanjung Lipat kerana pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu enggan memberikan kebenaran.

4. APA KATA BERSIH 2.0

Kuala Lumpur: Maria Chin berkata Bersih 4.0 akan diteruskan seperti dirancang walaupun gagal mendapat permit.

Bersih 2.0 juga menolak cadangan DBKL untuk menangguhkan perhimpunan tersebut.

Maria berkata, dari segi keselamatan, Bersih 2.0 telah menyediakan pasukan keselamatannya sendiri iaitu sejumlah 2,000 orang untuk mengawal orang ramai dan lalu lintas.
Selain itu, sejumlah 200 sukarelawan juga ditempatkan di lokasi-lokasi berbeza untuk memastikan kebersihan.
Tambahnya, orang ramai dan peniaga di KL boleh menjalankan aktiviti dan perniagaan mereka seperti biasa.

Tambahnya lagi, peserta perhimpunan perlu datang bersiap sedia dengan makanan dan selimut untuk berkhemah di Dataran Merdeka pada malam sebelum perhimpunan tersebut.

Beliau juga memberi amaran kepada mereka yang ingin membuat kacau agar tidak mengganggu perhimpunan tersebut kerana acara itu diadakan secara aman.

Kota Kinabalu: Penganjur Bersih 4.0 di Sabah berkata perhimpunan akan tetap diadakan sepertimana dirancang, walaupun masih gagal mendapatkan kebenaran.

Penganjur dilapor akan cuba berunding dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan pihak polis untuk tujuan itu.

Kuching: Penganjur Bersih 4.0 di Sarawak juga bercadang untuk merayu kepada kerajaan negeri dan Dewan Bandaraya Utara Kuching bagi mendapatkan kebenaran mengadakan perhimpunan sepertimana dirancang.

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.