Kiriman pada: Mon, Feb 22nd, 2016

Exco baharu Kedah angkat sumpah hari ini

Kongsi maklumat ini
Tags

51454567651_BashahALOR SETAR: Majlis angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah yang baharu di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dijadual berlangsung pagi ini.

Pelantikan Exco itu selaras dengan Perkara 37(2)(b) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah berikutan pelantikan Ahmad Bashah sebagai Menteri Besar pada 4 Februari lepas menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Majlis angkat sumpah dan pengurniaan tauliah pelantikan akan diadakan di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit di sini pada 9 pagi.

Mukhriz meletakkan jawatan sebagai menteri besar pada 3 Feb lepas setelah hilang sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) berikutan krisis yang bermula pada 20 Jan lepas apabila majoriti ADUN dan anggota Parlimen UMNO Kedah serta beberapa pemimpin kanan UMNO negeri menyuarakan hilang keyakinan terhadapnya.

Mengikut sumber yang rapat dengan kerajaan negeri, kemungkinan barisan Exco Kedah tidak ada perubahan yang besar, kecuali dari segi portfolio.

Sebelum ini di bawah pentadbiran Mukhriz, terdapat sembilan Exco iaitu Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi; dan Datuk Suraya Yaacob (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan).
Datuk Tajul Urus Mat Zain (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya); Datuk Badrul Hisham Hashim (Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan); Datuk Mohd Rawi Abd Hamid (Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan); dan Datuk Mohd Tajudin Abdullah (Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar).

Datuk Aminuddin Omar (Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Badan-badan Bukan Kerajaan); Datuk Noor Sabrina Mohd Noor (Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi); dan Datuk Dr Leong Yong Kong (Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan).

Mengenai pengirim

Berikan komen anda

Anda mesti mendaftar masuk untuk memberi komen.